Lelaki maut dihempap dahan kayu balak

A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki maut dihempap dahan kayu balak ketika sedang menebang pokok itu di atas bukit Hutan Simpan Hulu Paka dekat Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) Dungun jam 3.35 petang semalam.

Mangsa, Nor Ahmad Hasmadi Mad Ya'acob, 27, yang berasal dari bandar Jerteh melakukan kerja-kerja menebang balak bersama rakannya sebelum dihempap batang pokok dianggarkan setinggi lebih 15 meter.

Ketua Polis Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, ketika kejadian, rakan mangsa telah turun dari bukit untuk menjaga jentolak manakala mangsa meneruskan kerja-kerja menebang pokok.

Katanya, rakan mangsa kemudian memanggil nama mangsa berulang kali kerana menyangka pokok itu telah habis ditebang namun tiada sahutan.

“Rakan mangsa kemudiannya ke lokasi mangsa dan mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri serta berlumuran darah pada bahagian kepala kerana dihempap dahan pokok balak.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan AMBS dan telah disahkan meninggal dunia oleh doktor yang merawatnya,” katanya.

Menurut Baharuddin, hasil bedah siasat di Hospital Dungun mendapati punca kematian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Sementara itu, menurut seorang lagi rakan mangsa, Mohd Kamarul Ramli, 29, ketika kejadian dia berada bersama kumpulan penebang lain yang turut melakukan aktiviti menebang pokok pada jarak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian

Artikel Berkaitan:

“Tengah buat kerja tu, tiba-tiba kelindan (pembantu) dia (mangsa) datang kata arwah kena kayu. Saya terus matikan mesin tebang balak dan meluru ke lokasi mangsa. Saya tak berani tengok dekat sebab ada beberapa lagi rakan yang lain turut berkumpul dekat mangsa.

“Saya tunggu rakan-rakan bawa dia turun ke bawah bukit. Masa mula-mula sampai tu saya nampak dia bernafas lagi, cuma dia pejam mata. Kami angkat dia bawa masuk Hilux ke klinik berdekatan. Dia disahkan meninggal dunia sebaik tiba di klinik,” katanya.