X

Kindly register in order to view this article
!

Gangguan air empat wilayah pulih sepenuhnya

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Gangguan bekalan air berikutan pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Semenyih yang menyebabkan sebanyak 372,031 akaun pelanggan terjejas sejak kelmarin pulih sepenuhnya jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, laporan pemulihan itu berdasarkan pemantauan paras kolam perkhidmatan dan bacaan tekanan di sistem agihan bekalan air di empat wilayah.

Menurutnya, pihaknya juga ingin memaklumkan kualiti air yang dibekalkan oleh Air Selangor adalah memenuhi piawaian kualiti air ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Mengenai aduan berkaitan kualiti air, hasil siasatan dan pemeriksaan di 120 premis sehingga jam 12 tengah hari tadi mendapati air terawat yang dibekalkan disahkan memenuhi piawaian kualiti air yang ditetapkan.

"Air Selangor mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama pelanggan atas kerjasama sepanjang tempoh gangguan dan pemulihan bekalan dan mohon maaf atas segala kesulitan," katanya.

Beliau berkata, pelanggan boleh terus menghubungi pihaknya jika memerlukan sebarang bantuan berhubung perkhidmatan dan gangguan bekalan air.

"Pelanggan boleh muat turun aplikasi telefon bimbit Air Selangor untuk maklumat atau hubungi kami di talian 15300 atau WhatsApp ke talian 019-281 6793 / 019-280 0919," katanya.

Kelmarin sebanyak 372,031 akaun pelanggan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terlibat gangguan bekalan air susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih pada jam 5 petang disebabkan insiden pencemaran itu.

Bagaimanapun LRA Sungai Semenyih kembali beroperasi sepenuhnya pada jam 6.30 pagi semalam selepas lebih 13 jam arahan henti tugas dikeluarkan.

Sementara itu, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian memaklumkan pencemaran bau seperti pelarut itu disyaki berpunca daripada pembuangan sisa yang tidak dibenarkan ke sistem pembetungan dan tidak dapat dirawat oleh loji kumbahan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus