Pas tekad utama masalahan rakyat

A
A

KUANTAN - Pusat Khidmat Pas Dun Beserah tekad untuk memberi keutamaan kepada penyelesaian permasalahan rakyat di kawasan tersebut.

Adun Beserah, Andansura Rabu berkata, pelbagai isu dihadapi penduduk di kawasan tersebut yang perlu diberi perhatian termasuk isu permohonan tanah yang tertangguh sekian lama, kemudahan asas dan infrastrukrur dan kebajikan.

Beliau berazam untuk membantu penduduk-penduduk yang berdepan masalah permohonan tanah tertunggak 20 hingga 30 tahun.

“InsyaAllah dalam tempoh lima tahun mandat diberikan ini, permasalahan berkenaan antara yang akan diberi keutamaan.

‘Selain itu kita juga akan memberi perhatian berhubung kemudahan asas dan infrastruktur di kawasan ini khususnya aspek penyelenggaraan jalan rosak, lampu jalan, parit tersumbat dan isu-isu lain yang dibangkitkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena tahun baharu 2109 di sini, hari ini.

Justeru beliau mengharapkan sokongan dan dokongan semua pihak untuk memberi maklumbalas terhadap permasalahan dihadapi kepada Pusat Khidmat Dun Beserah bagi membantu meningkatkan kualiti dan penyampaian kepada seluruh masyarakat.

“Allhamdulillah sepanjang 2018, dua sesi sidang Dewan Undangan Negeri bersidang dan saya diberi peluang berbahas.

“Isu tanah yang dihadapi penduduk di kawasan Beserah antara perkara yang dibangkitkan,” katanya.

Andansura yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, banyak peristiwa dihadapi Pas Pahang yang boleh dijadikan iktibar dan pengajaran dalam menyelusuri 2019.

“Bagi Pas Indera Mahkota sudah tentu antara peristiwa besar adalah PRU14 lalu.

“Allhamdulillah, hasil usaha dan kerjasama semua pihak termasuk jentera dan petugas serta penyokong sekitar Dun Beserah, ALLAH SWT sekali lagi memberi kemenangan kepada Pas untuk menerajui Dun ini sekali lagi untuk tempoh lima tahun,” katanya.

Dengan mandat yang diberikan itu, pihaknya meneruskan khidmat membantu rakyat dengan melaksanakan program-program yang sememangnya dilaksanakan setiap tahun.

“Sempena tahun 2019 ini, saya mengajak warga Dun Beserah untuk bersama-sama bermuhasabah diri sejauh mana 2018 lalu kita melaksanakan tanggungjawab dan perintah ALLAH SWT.

“Tahun 2018 menjadi sejarah kepada kita semua dan diharap sejarah ini menjadi pengajaran yang baik untuk kita tempuhi2019,” katanya.

Harapannya kepada semua warga Beserah, rakyat Pahang dan di seluruh negara amnya agar dapat mempertingkatkan ketakwaan sebagai hamba ALLAH SWT dan sama-sama membina negeri dan negara untuk kesejahteraan bersama.

“Kita jangkakan situasi 2019 sama dengan 2018 justeru persiapan perlu dilakukan untuk meneruskan kehidupan agar lebih selesa terutamanya dalam berjimat cermat.

“Harapnya 2019 ini menjanjikan sinar yang baik dan ALLAH SWT permudahkan segala urusan kita semua,” katanya.