2019 tirai harapan Malaysia Baharu

No Image Caption
A
A
A

SYUKUR Alhamdulillah. Kita telah melepasi tahun 2018, ujian Pra-permulaan bagi Kerajaan Pakatan Harapan seterusnya melangkah ke tahun 2019 Fasa sebenar bagi Merealisasikan Malaysia Baharu.

Fokus seterusnya tentulah bagi program-program "penterjemahan" hasrat kerajaan memenuhi kehendak rakyat iaitu memberi mereka kehidupan yang lebih baik memandangkan isu ini adalah isu terbesar yang membelenggu rakyat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

Di sinilah cabaran yang menanti kerajaan, iaitu dari sudut keberkesanan bagaimana kekayaan negara hendak diagihkan kepada golongan yang memerlukan. Pembelaan B40 adalah tumpuan keutamaan dalam keadaan kantung negara terbatas isinya dan PH terhimpit dengan hutang negara hasil peninggalan kerajaan lama BN.

Pada waktu yang sama, kaedah penyampaian subsidi bersasar diharap dapat memenuhi keperluan golongan sasaran selain meminimakan impak ketirisan. Pengumuman penurunan harga bahan bakar bermula Januari 2019 merupakan bukti kesungguhan kerajaan mengawal kesan berantai naik-turun harga barangan selain itu pembekuan kenaikan bayaran tol juga sedikit-sebanyak diharap dapat menyumbang kepada kestabilan kos sara hidup sekurang-kurangnya.

Merancakkan ekonomi domestik akan menghasilkan pendapatan kepada kerajaan namun pada waktu yang sama memastikan kuasa beli lebih baik di kalangan pengguna pasti menjadi cabaran 2019 kepada kerajaan PH.

Paling mencabar ialah bagaimana institusi kepimpinan negara dapat meningkatkan kredibiliti dan integriti melibatkan Parlimen, Eksekutif , Kehakiman, Penguatkuasaan dan Perkhidmatan Awam. Langkah memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam usaha memerangi korupsi menjadi keutamaan kerajaan bertujuan menghidupkan semula keyakinan hubungan rakyat dan pemimpin yang terhakis sebelum ini. Undang-undang yang menginstitusikan ketelusan seperti Akta Pembiayaan Parti Politik, Akta Perkhidmatan Parlimen dan lain-lain akta relevan mesti diwartakan pada tahun 2019. Komitmen ini penting untuk memulakan budaya akauntabiliti dan menutup pintu-pintu rasuah.

Kalau 2018 adalah usaha pembersihan daripada skandal besar 1MDB, Felda, Tabung Haji (TH) yang menipiskan kepercayaan rakyat kepada kerajaan, maka 2019 adalah usaha pemulihan dan penstrukturan semula secara praktikal dan berkesan. Hanya dengan mengembalikan agensi besar kerajaan kepada landasannya sebenar, keyakinan dapat dipulihkan. Ini adalah satu cabaran besar kepada kerajaan PH untuk membuktikan kewibawaanya dengan tagline yang membawanya ke persada kuasa iaitu untuk 'selamatkan negara'. Proses pengadilan perlu menampakkan hasilnya supaya pesalah yang telah mengkhianati amanah negara dikenakan hukuman setimpal.

Dari sudut pengisian, tiada yang lebih mencabar daripada menangani isu perkauman sempit dan 'penunggang agama' yang berleluasa. Ia bukan sesuatu yang pelik apabila ruang ini terbuka luas untuk gerombolan ini kerana kerajaan PH mengamalkan kebebasan bersuara. Harga yang dibayar untuk mencapai kemenangan PH ini adalah semua aliran akan diberi ruang untuk menyatakan sikapnya tidak terkecuali kelompok kiri dan kanan. Kebebasan ini berpotensi disalahgunakan tanpa naluri tanggungjawab apatah lagi ruang dan peluang mensensasikan isu kaum dan agama terbuka luas. Justeru itu, ruang kebebasan ini mestilah ada pengawalnya. Suatu mekanisma mesti dilaksana untuk memelihara sensiviti agama dan kaum agar tidak melarat menjadi cetusan ketegangan dalam negara, dan kerana itu, pada tahun 2019 perlu dijayakan Undang-Undang Keharmonian Nasional bagi menghukum pencetus kebencian kaum dan agama dan pada waktu yang sama kebebasan tidak terjejas.

Cabaran kerajaan lagi ialah bagaimana politik keterbukaan yang baharu ini mampu dikawal oleh aliran 'lebih di tengah' yang bertindak sebagai faktor penarik antara dua ekstrim. Membina kekuatan 'aliran tengah' dalam usia PH yang masih muda memerlukan kekuatan ideologi politik tengah yang dijelmakan dalam naratif MALAYSIA BAHARU. Undang-undang bukan lagi faktor mutlak menyekat kebebasan bersuara walaupun ia masih diperlukan bagi mengelak anarkisma dan menjaga keselamatan negara tetapi persaingan ideologi adalah medan yang lebih utama dan kerana itu menjadi cabaran 2019 Malaysia Baharu menguruskan kebebasan ini secara sihat dan berkesan. MALAYSIA BAHARU diyakini mampu menampung keperluan ini dan 2019 adalah tahun kepimpinan kerajaan menyahut cabaran ini.

Artikel Berkaitan:

Malaysia Baharu tidak turun dari langit usai PH menang pasca PRU 14, tetapi ia hanyalah pembuka jalan kepada proses membentuk, membina dan memunculkannya sebagai gagasan negara untuk menempuh segala cabaran mendatang. Malaysia Baharu menjangkau 2020 malah ia adalah kesinambungan evolusi seterusnya dan amatlah penting rakyat Malaysia memahami dan menghadamkannya untuk kepentingan semua.

Dari sudut keberadaan Islam dalam kerangka negara, 2019 adalah perlaksanaan kepada tiga teras utama pentadbiran Islam yang telah diperkenalkan pada tahun 2018. Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia akan diperincikan dari sudut mencetuskan kesedaran massa, melaksanakan program dan menilai keberhasilannya. Program ini penting untuk mengukur sejauhmana Malaysia berjaya tidak terheret ke perangkap kelompok ekstrem dan radikal serta ia akan tertakluk kepada sejauhmana kejayaan tiga teras utama dapat diterapkan. Pada waktu yang sama kemunculan kelompok yang mahukan Islam ditafsirkan mengikut acuan yang longgar dan cair akan ditangani melalui pendekatan Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin sepanjang 2019 nanti.

Pun begitu pendekatan Islam sebagai Rahmatan Lil ‘Alamin ini tidak terlepas dari menjadi mangsa kekeliruan sesetengah pihak yang dengan sengaja mahu menimbulkan suasana syak dan ragu terhadap nilai yang ingin dibawa. Kedengaran suara-suara sumbang yang cuba memperkecilkan teras Rahmatan Lil ‘Alamin sebagai salah satu teras pentadbiran Islam di Malaysia. Mereka mendakwa dalam tulisan dan ceramah mereka kononnya RLA adalah satu cara halus untuk meliberalisasikan fahaman masyarakat Islam di Malaysia. Soalnya, adakah benar dakwaan mereka itu?

Teras Rahmatan Lil ‘Alamin ini sebenarnya merujuk kepada ayat 107 Surah al-Anbiyaa Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan tidaklah Kami utuskan dikau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.

Dalam ayat tersebut ALLAH SWT menegaskan bahawa tujuan pengutusan nabi terakhir Muhammad SAW adalah semata-mata untuk tujuan memberi rahmat kepada seluruh alam buana. Maksud alam ialah segala kewujudan selain ALLAH SWT. Maka kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah untuk menyenangkan dan membahagiakan seluruh alam, bukan khusus untuk umat Islam atau bangsa Melayu sahaja.

Seluruh ajaran Islam adalah untuk merealisasikan rahmat ALLAH SWT kepada makhluknya secara inklusif, bukan kepada orang Islam sahaja atau eksklusif untuk bani Melayu sahaja. Lantaran itu, segala dasar, fahaman, tindakan atau perkataan yang tidak selari dengan makna rahmah wajib ditolak oleh orang Islam kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.

Sekiranya kita benar-benar menjunjung dan menghayati ajaran Rasulullah SAW, sudah tentu kita akan menyambut seruan supaya melaksanakan agenda RLA dengan hati yang senang dan gembira. Kerana ia adalah seruan yang lahir daripada intipati ajaran Islam.

2019 juga bagi saya adalah cabaran membawa wacana Maqasid Syariah dalam konteks semasa yang diapungkan di pentas realiti dan keperluan semasa berdasarkan disiplin Fiqh al-Waqi’. Jika para ilmuan Maqasid masih terikat dan terpasung dengan naratif klasik semata-mata seperti objektif menjaga nyawa dalam Islam ialah membunuh balas (qisas) orang yang disabitkan membunuh, maka sudah pasti Maqasid Syariah akan dilihat kurang relevan dengan tuntutan semasa tentang keperluan menjaga nyawa daripada ancaman-ancaman baharu.

Sebagai contoh , usaha-usaha menurunkan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya adalah termasuk dalam objektif menjaga nyawa dalam Maqasid Syariah. Berdasarkan laporan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya yang disiarkan di portal rasmi Kemeterian Pengangkutan Malaysia untuk tempoh 2011-2016, memang terdapat penurunan indeks kematian iaitu dari 3.21 (6,877 kematian berbanding 21,401,269 kenderaan berdaftar) kepada 2.59 (7,152 kematian berbanding 27,613,264 kenderaan berdaftar).

Walau bagaimana pun, melihat kepada angka kematian yang masih tinggi akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2016 iaitu 7,152 mangsa, sesuatu yang lebih efektif wajib dilakukan di samping Pendekatan 5E( Education, Enforcement, Engineering, Environment dan Evaluation) yang dijalankan Kementerian Pengangkutan Malaysia menerusi Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dengan kerjasama badan bukan kerajaan, pihak swasta dan media massa. Angka kematian yang tinggi ini membawa implikasi yang tidak sedikit kepada keluarga, masyarakat dan negara. Bahkan ia mungkin menyebabkan berlakunya masalah kemiskinan kepada waris mangsa yang menjadi tonggak kewangan keluarga. Negara juga mungkin akan kehilangan sumber manusia yang bernilai tinggi akibat kemalangan maut.

Justeru, pihak-pihak berkuasa agama dan para agamawan seharusnya peka terhadap ancaman maut akibat kemalangan jalan raya ini. Mereka hendaklah menjadikan objektif menjaga nyawa dalam Maqasid Syariah sebagai wacana yang sangat penting dalam khutbah, ceramah dan tazkirah mereka. Ini bertujuan agar kesedaran rakyat meningkat terhadap kepentingan berhati-hati dan berwaspada dengan mengambil langkah-langkah keselamatan di jalan raya. Kempen kesedaran agama tentang keselamatan di jalan raya hendaklah seiring dengan kempen kesedaran tentang kewajipan solat fardhu, menutup aurat, meninggalkan arak dan sebagainya. Inilah pendekatan kerajaan Malaysia Baharu dalam memperbaharui naratif menjaga nyawa dalam Maqasid Syariah.

Begitulah Islam jika dilihat dalam kerangka lebih besar. Islam turun sebagai satu rangkuman kehidupan manusia dalam pelbagia aspek yang mampu member kesejahteraan buat ummat sejagat. Justeru, cabaran terbesar juga kepada diri saya dan kerajaan Pakatan Harapan adalah menterjemah apa yang telah difikirkan sesuai untuk negara dan rakyat Malaysia. Walaupun dalam masa yang sama diasak kiri dan kanan dengan usaha-usaha pihak tertentu yang mahu membawa pemahaman dan emosi rakyat kearah radikal dan ekstrem. Apa jua pendekatan yang cuba diperkenalkan sering dipesongkan dengan konotasi negatif pihak tertentu sehingga menyimpang jauh dari hasrat dan idea asal pembentukan Malaysia Baharu ini.

Sesiapa yang menganggap 2019 adalah jalan mudah bagi kerajaan baharu membawa agendanya pastinya tidak menghayati perjuangan panjang para pejuang era Reformasi yang pada penghujung cita-citanya mendambakan Malaysia Baharu. Pihak pembangkang yang bergelut mahu merampas kuasa dari PH akan mempersenda dan memperkecilkan langkah Malaysia Baharu. Dalam proses itu mereka tidak teragak-agak bersaing secara tidak sihat seperti mensabotaj dengan nuansa rasis dan fahaman agama yang sempit. Gelanggang media sosial akan terus menjadi alat berperanan untuk memenuhi kehendak pembangkang walaupun melalui fitnah dan penipuan.

Tahun 2019 adalah permulaan perjalanan secara praktikal ke arah membina MALAYSIA BAHARU. Saya menganggap 2019 adalah sebuah tirai harapan untuk melihat pencapaian bermakna ke arah MALAYSIA BAHARU yang didambakan.

SELAMAT TAHUN BAHARU 2019