X

Kindly register in order to view this article
!

Kes Adib: Peguam Negara wajar letak jawatan

A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor mendesak Tommy Thomas meletak jawatan sebagai Peguam Negara dan tindakan tegas dikenakan ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dan Exco Selangor, V Ganabatirau.

Ketuanya, Hanafi Zulkapli berkata, ia susulan keputusan inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim yang dikeluarkan pada Jumaat lalu adalah disebabkan tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenali.

Menurutnya, keputusan itu membuktikan kematian Allahyarham Muhammad Adib bukannya disebabkan kecuaian ketika bertugas seperti didakwa seterusnya menafikan andaian yang sengaja dicetuskan segelintir pihak bagi menyembunyikan kebenaran sebenar.

"Peguam Negara perlu melepaskan jawatan secara bermaruah atas kegagalan beliau berperanan dalam memperjuangkan keadilan terhadap isu ini.

"Wayta Moorty dan Ganabatirau pula perlu bertanggungjawab dengan kenyataan mereka yang menghasut pada awal insiden rusuhan kuil sehingga menyebabkan insiden yang tercetus semakin meruncing.

"Malah kenyataan yang dikeluarkan amat sensitif sehingga menyinggung perasaan kaum Melayu secara khususnya," katanya.

Hanafi berkata, beliau turut menyokong pimpinan Pas Pusat yang menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menubuhkan pasukan siasatan khas untuk menyiasat sehingga akar umbi.

"Siasatan mesti dilaksanakan dengan serius, pantas dan telus tanpa mengecualikan mana-mana pihak berkepentingan walaupun kedudukannya sebagai menteri," katanya.

Sementara itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Jamaludin berkata, Tommy dan lima pemimpin Pakatan Harapan (PH) didakwa bertanggungjawab mencetuskan ketidakharmonian sehingga menjejaskan perpaduan kaum di negara ini.

Menurutnya, tindakan mereka mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan sehingga berlaku rusuhan di Kuil Sri Maha Mariaman Seafield sehingga mengorbankan seorang anggota bomba.

Justeru, pihaknya mendesak agar Tommy meletak jawatan selain meminta maaf secara terbuka kerana memfailkan afidavit berunsur skandal dan subjudis dengan mengambil posisi bahawa Adib tidak dibunuh yang jelas mendahului prosiding inkues.

Fairuz yang juga Pengerusi Sekretariat Tunas Muda berkata, pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan sehingga tercetus rusuhan berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!