Dua peserta KL Maraton cedera dilanggar lari

Azman Sha'riat
Azman Sha'riat
A
A
A

AMPANG - Dua peserta KL Maraton cedera dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) Kuala Ampang di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Sha'riat berkata, mangsa dilanggar kereta jenis Toyota Camry yang dipandu dari arah Ampang menghala ke Gombak pada jam 6.20 pagi.

"Siasatan awal mendapati kereta tersebut berada pada lorong paling kanan dan pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan mengakibatkan dua mangsa yang ketika itu berada pada lorong paling kiri dilanggar," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian kedua mangsa sedang menyertai Larian KL Marathon dari arah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) menghala ke DUKE.

"Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan manakala pemandu Camry tersebut bertindak meninggalkan tempat kejadian.

"Mangsa yang masing-masing berusia 44 tahun mengalami luka pada kaki dan retak tulang pinggul," katanya.

Katanya, lorong kiri ditutup sepenuhnya untuk kenderaan bagi memberi laluan kepada peserta larian.

"Usaha mengesan pemandu terbabit sedang dijalankan dan sehingga kini dia belum hadir membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan:

"Jika ada saksi bebas boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093," katanya.

Azman berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.