Rumah Putih cuba lindungi Trump

Transkrip perbualan Trump dengan Presiden Ukraine didedahkan pada minggu lalu.
Transkrip perbualan Trump dengan Presiden Ukraine didedahkan pada minggu lalu.
A
A
A

WASHINGTON - Rumah Putih telah menyekat akses transkrip beberapa perbualan telefon Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan pemimpin asing termasuk rakan sejawatannya di Rusia, Vladimir Putin dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman.

Media tempatan melaporkan, langkah itu kononnya untuk menghentikan kebocoran perbualan sulit melibatkan Trump susulan pendedahan butiran perbualan jutawan hartanah terbabit dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pada 25 Julai lalu yang meminta beliau menyiasat bekas Timbalan Presiden, Joe Biden dan anak lelakinya.

Insiden itu juga membawa kepada siasatan rasmi yang dilancarkan Parti Demokrat ke atas Trump yang didakwa melakukan pengkhianatan terhadap sumpah jawatan, keselamatan negara dan integriti pilihan raya.

Seorang pembocor maklumat yang identitinya tidak didedahkan mendakwa, Rumah Putih cuba ‘mengunci’ perbualan antara Trump dengan Zelensky kerana permintaan yang dibuat jutawan hartanah tersebut yang dilihat sebagai cubaan untuk menyingkirkan Biden yang merupakan pesaingnya dalam Pilihan Raya Presiden 2020.

Difahamkan, polisi untuk menyekat akses kepada transkrip beberapa panggilan telefon Presiden AS dengan pemimpin asing dilaksanakan lebih setahun lalu.

Rumah Putih memutuskan untuk bertindak bagi mengelak kebocoran memalukan selepas perbualan bersama Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull terbongkar pada 2017.

Dalam perkembangan lain, pentadbiran Trump turut menyiasat rekod e-mel bekas pegawai Jabatan Negara yang menghantar mesej kepada bekas Setiausaha Negara, Hillary Clinton menerusi e-mel peribadi beliau.

Kira-kira 130 pegawai telah dihubungi sejak beberapa minggu lalu oleh penyiasat Jabatan Negara.

Artikel Berkaitan:

Tindakan Clinton itu turut mencetuskan beberapa siasatan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Kongres yang turut menjadi antara punca kekalahan beliau yang menjadi pesaing Trump ketika Pilihan Raya Presiden 2016. - Agensi