AS halang Menteri Luar Iran lawat rakan sakit

Javad Zarif
Javad Zarif
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) menolak permintaan Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif yang mahu melawat Duta Teheran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Majid Takht-Ravanchi yang kini dirawat di sebuah hospital di New York kerana penyakit barah dihidapinya.

Jabatan Negara AS turut meletakkan syarat Zarif hanya akan dibenarkan untuk berbuat demikian jika Iran membebaskan salah seorang rakyat AS yang ditahan di Teheran.

Sekatan perjalanan ketat yang dikenakan ke atas beliau pada Julai lalu menyebabkan pergerakan menteri terbabit hanya terhad antara Lapangan Terbang John F Kennedy dan kawasan sekeliling bangunan PBB di mana Perhimpunan Agung Sesi Ke-74 di New York berlangsung.

Difahamkan, Washington turut menahan beberapa rakyat Iran yang didakwa melanggar sekatan AS terhadap Teheran.

Salah seorang daripadanya adalah saintis sel stem terkenal, Masoud Soleimani yang dipenjarakan di Washington selama hampir setahun tanpa menjalani sebarang perbicaraan dan tahap kesihatannya dilaporkan juga semakin merosot.

Sekatan perjalanan yang dikenakan terhadap beberapa diplomat Iran dan keluarga mereka di New York disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan dan merupakan sebahagian daripada senarai langkah dilakukan pentadbiran Presiden Donald Trump untuk memberi tekanan maksimum ke atas Teheran. - Agensi

Artikel Berkaitan: