Tunggakan sewa rumah PPA, PPR kini RM58 juta

Khalid meninjau keadaan kawasan perumahan ketika Program Komuniti Sejahtera 'Inisiatif Wilayah Peduli' di Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak hari ini. - Foto Bernama
Khalid meninjau keadaan kawasan perumahan ketika Program Komuniti Sejahtera 'Inisiatif Wilayah Peduli' di Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tunggakan bayaran sewa di Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) kini berjumlah RM58 juta.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, tunggakan itu yang dikenal pasti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak puluhan tahun dahulu masih tidak menemui penyelesaiannya dan antara alasan utama penyewa adalah tidak mempunyai pekerjaan untuk membayar sewa.

“Tunggakan sekarang RM58 juta. Ini bukan dalam setahun sejak Pakatan Harapan (PH) ambil alih, ini dah banyak tahun dan benda ini tidak selesai-selesai.

“Jadi bila kami (PH) ambil alih, kami tak nak gunakan pendekatan mengejut, kami cuba selesaikan masalah ini dulu.

"Kami beri tempoh dalam tiga atau enam bulan (untuk penduduk bayar sewa), kita tengok,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Inisiatif Wilayah Peduli (Komuniti Sejahtera) di PA Desa Rejang di sini hari semalam.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Khalid berkata, DBKL merintis program Karnival Kerjaya yang bermula di PA Desa Rejang dalam usaha membantu penduduk PA dan PPR menyelesaikan kemelut bayaran tunggakan sewa rumah.

Karnival Kerjaya itu adalah dengan kerjasama Jobs Malaysia yang akan turun untuk bertemu dengan penduduk dan membantu mencari peluang pekerjaan yang sesuai.

Artikel Berkaitan:

“Kami nak selesaikan masalah yang duduk di PA dan juga PPR. Ia mesti merupakan suatu pendekatan yang sepadu, bukan sekadar kami nak ambil tindakan undang-undang, nak bertindak keras sahaja,” katanya.

Selain Karnival Kerjaya, DBKL turut merintis dua lagi program iaitu Program Sayangi Komuniti dan Program 1 Rumah 1 Graduan juga bermula di PA Desa Rejang.

Program Sayangi Komuniti adalah program penempatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AADK di kawasan PA dan PPR dalam usaha membanteras pelbagai kes jenayah yang semakin meruncing.

Program 1 Graduan 1 Rumah pula merupakan program tajaan penuh yang menyasarkan belia B40, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang tidak dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Program anjuran Pure Education Sdn Bhd dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia bersama pihak industri dikenali sebagai program kerja sambil belajar menawarkan program profesional peringkat diploma dan sijil selama 10 hingga 30 bulan secara percuma. - Bernama