Sungai, sumber air lebih terpelihara dengan undang-undang baharu

Tengku Zulpuri Shah Raja Puji melepaskan anak ikan pada gimik pelancaran Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Dataran Sungai Selangor, Ampang Pecah hari ini. -Foto Bernama
Tengku Zulpuri Shah Raja Puji melepaskan anak ikan pada gimik pelancaran Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Dataran Sungai Selangor, Ampang Pecah hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR -- Langkah penguatkuasaan akan dipertingkat dalam mengatasi isu pencemaran sungai dan menjaga sumber air negara apabila Rang Undang-undang Sumber Air diluluskan di Parlimen.

“Rang undang-undang yang akan datang ini akan kita kuatkuasakan, buat masa ini kita akan bawa ke Dewan Rakyat. Rang undang-undang itu akan meliputi semua yang berkaitan dengan air,” kata Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan langkah kerajaan menangani isu pencemaran sungai yang dilihat sering berlaku sejak kebelakangan ini.

Pada 29 April lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata, kementerian itu telah menggubal rang undang-undang itu yang seragam dan komprehensif untuk digunakan oleh semua negeri bagi memperkasa pengurusan, kawalan dan penguatkuasaan sumber air di seluruh negara.

Sementara itu, Tengku Zulpuri Shah dalam ucapannya berkata, sambutan pada hari ini dibuat bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya sungai untuk semua kehidupan.

Menurut beliau, kebanyakan pencemaran pada hari ini berpunca daripada aktiviti manusia sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Sudah tiba masanya masyarakat mengubah mentaliti ke arah yang lebih peka terhadap kesan buruk yang bakal dihadapi agar mereka tidak sewenang-wenangnya membuang sampah,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran bau Loji Semenyih: 372,031 akaun terjejas

Artikel Berkaitan: