Gangguan bekalan air pulih 47 peratus

Abdul Raof Ahmad
Abdul Raof Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Status pemulihan bekalan air ekoran pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Semenyih di tahap 47 peratus sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, bantuan lori tangki terus digerakkan ke lokasi terjejas.

Menurutnya, sebanyak 10 pusat khidmat setempat (PKS) beroperasi selama 24 jam sehingga bekalan pulih sepenuhnya.

"Air Selangor mengambil langkah dan tindakan perlu bagi mempercepatkan proses pemulihan serta menyalurkan bantuan kepada pelanggan terjejas.

"Penduduk terjejas boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor atau laman sesawang www.airselangor.com untuk status semasa dan menyalurkan aduan serta bantuan diperlukan," katanya.

Semalam, sebanyak 372,031 akaun pelanggan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terlibat gangguan bekalan air susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih pada jam 5 petang disebabkan insiden pencemaran itu.

Bagaimanapun LRA Sungai Semenyih kembali beroperasi sepenuhnya pada jam 6.30 pagi tadi selepas lebih 13 jam arahan henti tugas dikeluarkan.

Sementara itu, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian memaklumkan pencemaran bau seperti pelarut itu disyaki berpunca daripada pembuangan sisa yang tidak dibenarkan ke sistem pembentungan dan tidak dapat dirawat oleh loji kumbahan.

Artikel Berkaitan: