X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas Pengerusi DAP Johor meninggal dunia

Ahmad Ton
A
A

BATU PAHAT - Bekas Pengerusi DAP Johor, Ahmad Ton, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini pada 6.20 pagi tadi selepas sembilan hari rawatan akibat penyakit kencing manis.

Anak Allahyarham, Siti Khadijah berkata, bapanya dimasukkan ke HSNI akibat menghidap penyakit kencing manis kronik dan menjalani beberapa kali pembedahan sebelum meninggal dunia di hospital berkenaan.

“Penyakit arwah ayah semakin serius selepas Hari Raya Aidilfitri lalu dan bertambah kritikal pada Khamis lepas,” kata wanita berusia 35 tahun itu ketika ditemui di rumah Allahyarham di Kampung Parit Padang Sari, dekat sini hari ini.

Ahmad yang berusai 70 tahun menyertai DAP pada 1975 dan menjadi antara individu Melayu terawal menyertai parti itu di Johor sebelum menjadi pengerusi DAP negeri pada 2004 hingga 2005.

Sebelum itu, Allahyarham juga pernah menjawat jawatan Naib Pengerusi DAP Johor (2005-2013), Timbalan Setiausaha Agung (2004-2008) dan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) dari tahun 1982 hingga 2012 selain beberapa kali bertanding mewakili DAP untuk pilihan raya umum.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata, parti itu terutama DAP Johor mengucapkan takziah dan terima kasih atas khidmat Allahyarham yang menjadi perintis kepada perjuangan parti di negeri itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kerana iltizam teguh beliau yang merintis jalan bagi Pakatan Harapan untuk berjaya di peringkat nasional dan juga di Johor,” kata Liew yang juga Timbalan Menteri Pertahanan.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menganggap pemergian beliau satu kehilangan yang besar buat DAP.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Padang Sari, di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!