'Terima kasih ALLAH, hadirkan mendiang Pak Choong dalam hidup saya'

Foto Facebook Mufti Wilayah Persekutuan
Foto Facebook Mufti Wilayah Persekutuan
A
A
A

SHAH ALAM - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini berduka apabila beliau menerima berita pemergian seorang jirannya yang berbangsa Cina.

Dr Zulkifli berkongsi di Facebooknya bahawa berita itu benar-benar menghibakannya kerana mendiang bukan sahaja sahabat yang baik malah banyak kenangan manis yang dilakar sepanjang mereka berjiran.

"Bagi yang mengikuti saya sejak beberapa tahun lepas di media sosial, mungkin mengenali mendiang Pakcik Choong atau pemilik nama sebenar Choong Kooy Choon yang selalu menghadiahkan saya pelbagai haiwan peliharaan beliau kerana kami berkongsi hobi yang sama. ⁣⁣

"Setiap kali Tahun Baru Cina, saya tidak pernah lupa menghadiahkan kek untuk beliau sekeluarga. Beliau sudah pasti membalasnya dengan beberapa kotak limau Mandarin," katanya hari ini.

Tambahnya, "Hidup dengan kepelbagaian bangsa dan agama di Malaysia adalah nikmat ALLAH SWT untuk kita manfaatkan bersama demi membina masa depan Malaysia yang lebih harmoni,". ⁣

"Terima kasih ALLAH kerana menghadirkan mendiang Pak Choong dalam hidup saya, mencipta kenangan indah bersama dan membenarkan lagi keimanan saya bahawa kita semua asalnya daripada nenda yang sama iaitu Adam dan Hawa," katanya lagi.

Artikel Berkaitan: