PGA rampas hampir RM800,000 barang seludup

Azhari (dua dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas PGA Batalion 7 Kuantan.
Azhari (dua dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas PGA Batalion 7 Kuantan.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan berjaya menggagalkan 43 kes penyeludupan yang membawa kepada nilai rampasan berjumlah RM774,537.13 sepanjang penugasan di Op Wawasan.

Pegawai Pemerintah, Superintendan Azhari Nusi berkata, jumlah tersebut hasil penugasan selama 14 hari digerakkan agensi berkenaan sebaik sahaja mengambil alih tugas mengawal sempadan bermula 15 September lalu.

"43 kes itu membabitkan rampasan dadah, tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI), beras, mercun dan barangan kontraban.

"Selain itu, lembu, kambing, anak pokok kelapa dan sabut kelapa turut kita rampas sepanjang 14 hari penugasan di Op Wawasan," katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubok Stol di sini hari ini.

Azhari berkata, PGA Batalion 7 Kuantan akan terus melipatgandakan penugasan bagi memastikan kawalan sempadan negara berada pada tahap terbaik, selain mempertingkatkan kerjasama dengan agensi keselamatan di kawasan terlibat.

"Walaupun kawasan tanggungjawab kami bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat ke Rantau Panjang, namun penugasan PGA tidak terhad," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azhari berkata, PGA Batalion 7 Kuantan berjaya merampas 14,640 batang rokok seludup di pangkalan haram Workshop berhampiran Jalan Kasban, Pengkalan Kubor semalam.

Katanya, rampasan itu membabitkan nilai berjumlah RM21,960 termasuk cukai.

Artikel Berkaitan: