X

Kindly register in order to view this article
!

869kg sampah dikutip sekitar UIA

Para peserta berkumpul seawal jam 7 pagi sebelum memulakan aktiviti pendakian dan kutip sampah.
A
A

KUANTAN - Sejumlah 869 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip dan dikumpul sempena Program Kesedaran Lapisan Ozon Sempena Hari Ozon Sedunia 2019 Peringkat Negeri Pahang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kampus Kuantan di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Mohd Sani Mat Daud berkata, dalam program itu, lebih 300 peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan kumpulan tertinggi berjaya mengumpul 96.5kg sampah manakala yang terendah 19kg.

Menurutnya, program terdiri dalam kalangan pelajar UIA dan pengamal media itu bertujuan menyedarkan masyarakat terhadap tanggungjawab ke atas penjagaan alam sekitar, sekali gus dapat mengamalkan pengalaman yang diperoleh daripada program ini.

"Kita juga berharap program yang julung kali diadakan ini dapat memupuk kerjasama sesama peserta, UIA Kuantan, JAS, Alam Flora dan Media Pahang. Insya ALLAH, program ini akan diteruskan bersama UIA dan seterusnya dikembangkan dengan universiti lain.

"Selain aktiviti mengutip sampah, turut diadakan ialah program pendakian ke aras satu Bukit UIA yang mendapat penyertaan kira-kira 60 peserta kalangan pelajar, jabatan kerajaan termasuk JAS dan Alam Flora serta 18 pendaki Projek Himalaya dan Bomba Pahang," katanya.

Acara pelepasan mendaki dilaksanakan pada jam 7.15 pagi
Acara pelepasan mendaki dilaksanakan pada jam 7.15 pagi

Beliau berkata demikian pada sidang media program tersebut di UIA Kampus Kuantan di sini hari ini.

Pada 16 September setiap tahun, Malaysia bersama 196 buah negara lain yang meratifikasikan Protokol Montreal Mengenai Bahan Pemusnah Ozon menyambut Hari Ozon Sedunia.

Hari Ozon Sedunia telah diisytiharkan oleh Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1994 bersempena Persidangan Protokol tersebut pada 16 September 1987.

Sambutan pada tahun ini lebih bermakna kerana ia merupakan ulang tahun ke-32 Protokol Montreal dan tema ditetapkan United Nation Environment Programme (UNEP) tahun ini adalah sempena ulang tahun '32 Years And Healing' atau 32 Tahun Terus Dibaikpulih.

Mohd Sani berkata, usaha melaksanakan program-program persekitaran dalam sambutan tahun ini mencerminkan usaha kolektif semua negara-negara parti kepada Protokol Montreal dalam memulihara lapisan ozon selama lebih tiga dekad.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!