Larangan merokok disambut baik

Meja dan kerusi yang disediakan luar premis untuk kegunaan perokok. (Gambar kecil: Mohd Helmi)
Meja dan kerusi yang disediakan luar premis untuk kegunaan perokok. (Gambar kecil: Mohd Helmi)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Larangan merokok di premis menjual makanan berkuat kuasa hari ini dilihat mendapat sambutan baik dan berjalan lancar.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa warung dan restoran makanan di bandar raya ini turut mendapati persekitaran premis dilihat lebih bersih daripada puntung rokok.

Bagaimanapun terdapat premis makanan yang mengambil insiatif lain bagi menyahut seruan itu tetapi dalam masa sama memberi peluang kepada perokok memuaskan tabiat berkenaan.

Bagi pengusaha sebuah warung sarapan pagi di Kampung Melayu Majidee, Mohd Helmi Wallat berkata, dia mengambil inisiatif dengan menyediakan meja tambahan di luar premisnya kepada para perokok.

“Kita sambut baik larangan kerajaan ini, kawasan premis saya pun boleh bersih selain tidak mengganggu mereka yang tidak merokok ketika sedang makan.

“Namun, untuk perokok saya ini tidak boleh nak marah sangat mereka pun pelanggan kan, jadi saya sediakan lah kerusi dan meja di luar,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Sementara itu, tinjauan di sebuah restoran di Plentong pula mendapati rata-rata perokok mengambil inisiatif keluar sebentar daripada premis untuk melepaskan ketagihan mereka.

Salah seorang perokok, hanya mahu dikenali sebagai Osman, 44 berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk menuruti larangan tersebut tetapi masih sedang mencuba.

Artikel Berkaitan:

“Merokok ni dah lama, jadi kena perlahan-lahan. Jadi sekarang bila lepas makan sahaja, saya keluar lah kedai sekejap nak hisap rokok, tidak mahu susah di kemudian hari.

“Kalau tidak saya kena, pengusaha pula nanti kena tanggung. Saya hormati larangan kerajaan dan tidak mempunyai masalah pun,” katanya.

Sebelum ini, semua premis makanan telah diwartakan sebagai tempat larangan merokok bermula 12 tengah malam tadi, selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Pindaan pewartaan itu dilaksanakan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004).

Bagaimanapun, perokok dibenarkan merokok tiga meter daripada premis menjual makanan.

Selain rokok, vape dan shisha yang mengandungi nikotin turut tidak dibenarkan.