Gergasi Merah jangan gentar kelebihan jaringan Bos Gaurus

Sathianathan -Foto Bernama
Sathianathan -Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Selangor, B Sathianathan mengingatkan pemainnya agar mempamerkan aksi konsisten dalam misi meraih kemenangan seterusnya mengesahkan slot separuh akhir Piala Malaysia ketika turun melayan kunjungan Perak pada aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam malam ini.

Menurutnya, pemain tidak perlu merasa takut atau gentar dengan kelebihan jaringan dimiliki Perak sebaliknya perlu memberikan aksi terbaik sekali gus memadam defisit gol mereka.

“Kita sudah membuat persiapan rapi, malah Sandro Da Silva juga telah mula menjalani latihan bersama pasukan sepenuhnya dan saya harap dia dapat diturunkan esok (malam). Bagaimanapun kita kena tunggu dan lihat laporan perubatan berhubung kecederaan yang dialaminya sebelum ini terlebih dahulu.

“Jadi saya harap para pemain dapat memberi tumpuan terhadap permainan kita dan tidak boleh takut kerana sekiranya mereka takut maka kita bakal mengundang padah. Pemain perlu tenang dan fokus serta memberikan aksi terbaik masing-masing.

“Malah kita juga perlu beraksi sebagai sebuah pasukan ketika bertahan dan menyerang. Apa pun kita juga perlu menghormati kemampuan pasukan lawan kerana mereka juga memiliki barisan pemain yang luar biasa seperti Ronaldo, Shahrel Fikri dan juga Shahrul Saad,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Mengulas lanjut, bekas ketua jurulatih kebangsaan itu turut mengharapkan sokongan padu penyokong The Red Giants untuk sama-sama hadir dan menaikkan lagi semangat pemain di dalam padang.

Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Perak sebelum ini, skuad The Bos Gaurus berjaya meraih kemenangan 1-0 menerusi gol pemain kebangsaan, Brendan Gan pada minit ke-13.

Artikel Berkaitan: