Mendiang Chandran contoh teladan pemain, pentadbir

Mendiang Chandran - Foto FB Football Association of Malaysia (Official)
Mendiang Chandran - Foto FB Football Association of Malaysia (Official)
A
A
A

PERSATUAN Bekas Pemain Bola Sepak Negeri dan Kebangsaan menyifatkan kematian legenda bola sepak negara dan Selangor, Datuk M Chandran yang juga bekas presiden persatuan itu adalah satu kehilangan besar kepada dunia sukan negara.

Presidennya, Datuk Soh Chin Aun berkata, mendiang mempunyai kualiti kepimpinan yang cemerlang dan dihormati rakan sepasukan serta dunia bola sepak banyak memberi sumbangan besar kepada bola sepak negara secara khusus dan di rantau Asia secara keseluruhan.

Menurutnya, arena bola sepak negara kehilangan seorang wira negara yang banyak memberikan sumbangan demi kemajuan dan pembangunan sukan berkenaan.

“Kami sedih atas pemergian bekas presiden dan legenda bola sepak negara Datuk M Chandran.

“Chandran contoh teladan sebagai pemain dan pentadbir. Beliau memimpin dengan teladan dan seorang yang sangat berdisiplin,” kata Chin Aun dalam satu kenyataan semalam.

Legenda berusia 77 tahun itu meninggal dunia di kediamannya di Ampang Jaya, pada jam 7.30 pagi semalam pernah menjadi kapten skuad kebangsaan dan Selangor juga anggota skuad Olimpik 1972 di Munich serta turut pernah menjadi jurulatih kebangsaan.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut juga menyifatkan pemergian Chandran sebagai satu kehilangan besar kepada arena bola sepak tanah air.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata, daya kepimpinan tinggi dan komitmen mendiang di atas padang menerusi 163 penampilan bersama skuad kebangsaan, selain di luar padang wajar dicontohi generasi pemain bola sepak masa kini.

Artikel Berkaitan:

“Saya secara peribadi turut mengenali mendiang dan menganggap mendiang sebagai mentor serta tokoh yang membimbing saya dalam bidang bola sepak ini.

“FAM sekali lagi mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan ingin merakamkan penghargaan terima kasih di atas segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan mendiang sepanjang berkhidmat untuk bola sepak Malaysia,” katanya dalam hantaran terbaru dalam laman Facebook FAM semalam.

Seorang lagi legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh berkata, Chandran sentiasa bersedia memberi sokongan moral setiap kali pasukan negara berdepan cabaran getir.

“Beliau berjaya menyatukan pasukan dan memimpin kami ke tahap paling tinggi yang pernah dicapai negara setakat ini, iaitu melayakkan diri dan bermain dalam Sukan Olimpik Munich pada 1972. Beliau akan sentiasa diingati,” katanya.