Satu bahasa, dua tulisan

A
A

BAHASA Melayu ialah bahasa kebangsaan kita sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara 152. Pada 4 Jun 2007, Kabinet Malaysia telah membuat keputusan untuk menukarkan penggunaan bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia.

Kabinet mengarahkan semua kementerian, universiti dan pusat pengajian tinggi supaya memaklumkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menggunakan istilah bahasa Malaysia dalam surat-menyurat, juga semua jenis notis dan dokumen.

Rasionalnya adalah untuk menanam semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Pada 5 November 2007, Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Seri Zainuddin Maidin menegaskan bahawa penggunaan istilah baharu bahasa Malaysia ialah muktamad.

Uniknya bahasa Melayu kerana ia mempunyai dua jenis tulisan iaitu jawi dan rumi. Tulisan jawi telah wujud sejak sekitar tahun 1300 Masihi.

Ia dikaitkan dengan ketibaan Islam, khususnya kedatangan orang Parsi ke kepulauan Tanah Melayu.

Abjad Arab yang diperkenalkan telah diubah suai agar sesuai dengan bahasa Melayu klasik lisan.

Tulisan jawi ditulis dari kanan ke kiri (sebagaimana tulisan Arab, Parsi, Urdu dan Hebrew) dan ditokok dengan enam huruf yang tiada dalam bahasa Arab iaitu ca, pa, ga, nga, va dan nya.

Tulisan jawi digunakan secara meluas di negeri-negeri kesultanan Melayu pada awal abad ke-15 untuk tujuan surat-menyurat diraja, titah perintah, puisi dan juga kaedah perhubungan utama sesama saudagar, malah bahasa Melayu dalam tulisan jawi adalah bahasa perantaraan seluruh lapisan masyarakat ketika itu; baik para raja, bangsawan, ilmuwan agama, mahupun rakyat biasa, di samping menjadi lambang tradisi kebudayaan dan tamadun Melayu.

Penemuan batu bersurat Terengganu yang bertarikh 702 Hijrah (1303 Masihi) juga menjadi bukti penggunaan tulisan jawi pada masa itu.

Dalam perkara ini, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah mencadangkan lima tahun lalu agar subjek jawi diwajibkan di peringkat sekolah.

Katanya, tulisan jawi perlu dikuasai bukan sahaja oleh orang Melayu malah kaum lain kerana ia memiliki 1,001 keistimewaan dan kelebihan.

Menurut Kok Seong, masyarakat Cina tidak perlu takut dan menentang tulisan jawi kerana tulisan berkenaan hanyalah tulisan yang menjadi pelengkap kepada bahasa Melayu.

Pada masa ini, tulisan jawi adalah di bawah pendidikan J-QAF (Jawi, Quran, Arab dan Fardu Ain). Kelas J-QAF diadakan di peringkat rendah sama ada sekolah kebangsaan atau sekolah agama.

Ini menyebabkan ramai bukan Melayu salah sangka dan menganggap tulisan jawi adalah sebahagian daripada Islam apatah lagi kerana huruf dan tulisan jawi berasal daripada huruf al-Quran.

Seorang pakar tulisan jawi berbangsa Korea, Prof Dr Kang Kyoung Seok dari Daegu University of Foreign Studies (DUFS) Korea Selatan, mula mengkaji tulisan jawi sejak 1974 dan menganggapnya sebagai satu keunikan milik Malaysia.

Menurutnya, tulisan jawi sedang tenat dan jika keadaan itu berterusan, ia mungkin pupus satu hari nanti.

Beliau yang juga Profesor Pelawat di Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat UKM turut berhasrat mencipta mesin pengimbas yang boleh menterjemah tulisan jawi kepada pelbagai bahasa dan percaya teknologi itu dapat membantu peminat tulisan jawi seperti dirinya sendiri.

Saya sendiri mendapat pendidikan Melayu di Sekolah Kebangsaan Wakaf Bharu, Tumpat dan telah mempelajari tulisan jawi sejak tahun satu hingga tahun enam (1982-1987).

Ketika itu, jawi adalah satu subjek khusus dan tidak terhad untuk orang Islam sahaja.

Ramai orang Cina Kelantan yang mahir membaca dan menulis tulisan jawi sejak tahun 1950-an hingga 1980-an.

Syabas juga kepada kerajaan Kelantan yang mewajibkan tulisan jawi untuk papan tanda di semua premis perniagaan di Kelantan termasuk papan iklan. Semoga tulisan jawi dapat diperkasakan lagi.


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.