Penunggang, pembonceng motosikal maut dilanggar lari

Kemalangan langgar lari di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran susur masuk stesen minyak di Lahat pagi tadi.
Kemalangan langgar lari di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran susur masuk stesen minyak di Lahat pagi tadi.
A
A
A

IPOH - Dua lelaki maut dalam kemalangan langgar lari dipercayai membabitkan sebuah lori di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran susur masuk stesen minyak di Lahat, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, Margono, 52, seorang warga Indonesia dan rakannya, Syed Hazwan Hafiz Syed Mohd Nazari, 31, warga tempatan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan ketika kejadian kedua-dua mangsa masing-masing penunggang dan pembonceng motosikal jenis Yamaha dalam perjalanan dari arah Lahat ke Lumut untuk ke tempat kerja.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati motosikal terbabit telah bergesel dengan sebuah kenderaan lain disyaki lori yang datang dari arah sama.

"Keadaan itu menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan parah sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil bagi membantu polis mengesan kenderaan terlibat.

"Kita belum dapat mengenal pasti kenderaan terlibat namun siasatan awal kemungkinan lori. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: