Tak munasabah tak sedar dah masuk waktu!

Tindakan sekumpulan pemuda selamba melepak dan minum di warung pada waktu solat Jumaat semalam.
Tindakan sekumpulan pemuda selamba melepak dan minum di warung pada waktu solat Jumaat semalam.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang warga emas memberi alasan tidak sedar sudah masuk waktu solat Jumaat ketika ditahan sedang minum di sebuah warung berhampiran masjid semalam.

Warga emas berusia 69 tahun itu antara 17 lelaki yang dicekup penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) kerana didapati tidak solat Jumaat dalam operasi Ops Ponteng Solat Jumaat di sekitar kawasan Pantai Kemasik dan Pantai Mak Nik di sini.

Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) JHEAT, Nik Zuhaiza Ismail berkata, alasan diberikan lelaki warga tempatan itu langsung tidak munasabah kerana lokasi warung terlalu hampir dengan masjid.

"Malah jika duduk di situ laungan azan memang sangat jelas boleh didengar. Tetapi dia masih bertindak selamba menikmati secawan kopi ketika lelaki Islam lain pergi ke masjid untuk solat Jumaat," katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Nik Zuhaiza berkata, dalam operasi tersebut tangkapan individu yang dikesan tidak solat Jumaat selepas diperhatikan penguat kuasa wanita bertugas sebelum itu dilakukan antara jam 1.50 petang sehingga 2.10 petang sejurus selesai solat Jumaat.

Katanya, pelbagai alasan diberikan individu ini semasa ditangkap kononnya tidak sedar sudah masuk waktu, ada yang sedang minum di warung-warung selain memberitahu sedang menunggu kawan.

"Malah lebih menyedihkan kita juga ada menangkap pasangan kekasih yang sedang bermadu asmara ketika waktu solat Jumaat.

"Pasangan ini dilihat tidak sensitif dan tidak menghormati waktu solat Jumaat meskipun azan dari masjid berhampiran jelas didengari di kawasan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 16 hingga 69 tahun itu dibawa ke Pejabat Agama Kemaman untuk siasatan selanjutnya.

"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 iaitu mana-mana lelaki akil baligh yang tidak menunaikan solat Jumaat di masjid kecuali terdapat keadaan dibenarkan hukum syarak merupakan suatu kesalahan.

"Jika disabitkan kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, operasi berterusan akan dilakukan bagi menangani masalah ponteng solat Jumaat terutama di lokasi yang sering menjadi tumpuan awam selain aduan daripada masyarakat setempat.