Warga asing lari tinggal bini

Sebahagian PATI yang ditahan dalam serbuan di premis kediaman di Chemor semalam.
Sebahagian PATI yang ditahan dalam serbuan di premis kediaman di Chemor semalam.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki sanggup meninggalkan isteri dengan melarikan diri ke dalam hutan bagi mengelak ditahan dalam satu serbuan oleh Jabatan Imigresen Perak di Chemor semalam.

Dalam serbuan antara jam 10 malam hingga 4 pagi itu, lelaki warga Indonesia terbabit menyedari kehadiran anggota penguat kuasa sebelum bertindak meloloskan diri.

Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, individu terbabit gagal dikesan berikutan keadaan hutan yang gelap.

Menurutnya, dalam operasi itu sebanyak 26 premis kediaman diperiksa dan pihaknya berjaya menahan 54 warga asing termasuk 17 wanita berusia antara 21 hingga 55 tahun.

"Daripada jumlah ini, 50 orang merupakan warga Indonesia, Bangladesh (3) dan Vietnam (1).

"Kesemua mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa dan berada di negara ini tanpa permit sah serta melebihi tempoh dibenarkan," katanya.

Serbuan di salah satu premis kediaman di Chemor semalam.
Serbuan di salah satu premis kediaman di Chemor semalam.

Kamalludin berkata, dalam operasi sama, seorang wanita warga Vietnam didapati tidak pernah pulang ke negara asal selepas berkahwin dengan lelaki tempatan setahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketika serbuan wanita itu cuba bersembunyi di ruang rahsia dalam sebuah bilik untuk mengelak ditangkap.

"Apabila diperiksa wanita terbabit gagal mengemukakan pasport kerana disimpan oleh suaminya. Dia memaklumkan suaminya seorang warga tempatan sedang cuba mendapatkan cop masuk secara tidak teratur atau flying cop daripada ejen tertentu," katanya.

Kamalludin berkata, serbuan disertai 26 pegawai imigresen dari Bahagian Penguatkuasa itu dilakukan hasil risikan dan maklumat orang ramai mengenai kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan.

"Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyewakan premis kediaman mereka kepada kumpulan ini kerana boleh didakwa dan disabitkan atas kesalahan melindungi atau membenarkan PATI berada di premis mereka," katanya.

Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan di premis kediaman di Chemor semalam.
Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan di premis kediaman di Chemor semalam.