220,000 terima bayaran BSH 2019 Isnin ini

A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan membuat pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 kepada 220,000 orang penerima yang membuat rayuan berjumlah RM120 juta mulai Isnin ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing menggunakan maklumat akaun bank yang didaftarkan semasa permohonan rayuan BSH 2019.

"Sejumlah RM4.2 bilion telah disalurkan bagi keseluruhan fasa bayaran BSH 2019 termasuk rayuan kepada hampir 3.9 juta isi rumah yang diluluskan.

"Ia turut mengambil kira bayaran kadar tambahan sebanyak RM120 bagi setiap orang anak tanggungan terhad kepada maksima empat orang anak yang melibatkan hampir 3.6 juta anak penerima BSH.

"Anak tanggungan merujuk kepada anak berumur 18 tahun ke bawah dan juga anak OKU (orang kurang upaya) tanpa had umur," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng berkata, kerajaan akan meneruskan program BSH demi kesejahteraan ekonomi rakyat dengan membantu golongan berpendapatan rendah (B40) meringankan kos sara hidup mereka seperti yang telah diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2019.

Katanya, ia adalah bukti keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan terhadap golongan B40 dan seterusnya memberi impak yang tinggi kepada rakyat, pembayaran rayuan BSH 2019.

Sehubungan itu, jika terdapat sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada bsh@treasury.gov.my