X

Kindly register in order to view this article
!

Inkues: Kementerian Pertahanan pertimbang permintaan keluarga Mejar Zahir

Mohamad
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kementerian Pertahanan akan membawa permintaan keluarga Komando 11 Rejimen Gerak Khas, Mejar Mohd Zahir Armaya supaya inkues diadakan bagi mencari punca kematiannya ke peringkat lebih tinggi untuk dipertimbangkan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya turut dimaklumkan bahawa insiden yang mengakibatkan kematian Mohd Zahir pada 4 September lalu sebagai kejadian terpencil dan merupakan kemalangan dalam latihan.

Menurutnya, Lembaga siasatan Tentera Darat Malaysia (TDM) akan mengambil tindakan tatatertib terhadap individu terlibat dalam insiden berkenaan.

"Pihak lembaga siasatan TDM turut mengemaskini Prosedur Operasi Standard (SOP) jika terdapat keperluan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, bapa kepada Allahyarham Mejar Zahir, AR Badul mahu inkues diadakan bagi mencari punca kematian anaknya itu.

Badul atau nama penuhnya, Armaya Aman Ramlie, 70, berkata, semua ahli keluarganya tidak berpuas hati dengan kronologi sebenar kematian anaknya itu.

"Saya rasa kecewa dan hampa dengan kenyataan tentera (Tentera Darat Malaysia). Kami (keluarga) tidak pernah diberitahu secara khusus apa kronologi sebenarnya kematian anak saya. Kami terkilan sebab tidak diberi penerangan lanjut," katanya seperti dilapor media.

ARTIKEL BERKAITAN: Badul mahu inkues siasat punca kematian Mejar Zahir

ATM hormati keputusan AR Badul mohon inkues kematian Mejar Zahir

Balu Mejar Zahir enggan siasatan kes dibuka semula

Sementara itu, balu kepada Allahyarham Mejar Zahir, Nour Shafinar Harun, 31, berkata, beliau reda dengan pemergian suaminya dan menerimanya sebagai qada dan qadar ALLAH SWT.

Allahyarham Mejar Zahir terkorban ketika melakukan demonstrasi keupayaan sempena gimik penubuhan Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) pada 4 September 2019 lalu.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, Kementerian Pertahanan turut menyokong kenaikan pangkat Allahyarham Mejar Mohd Zahir kepada Leftenan Kolonel pada Majlis Angkatan Tentera Ke-578 (MAT 578) pada 17 September 2019 lalu.

"Bagaimanapun, kenaikan pangkat berkenaan adalah tertakluk kepada kelulusan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus