Rejimen 504 Askar Wataniah perlu perkukuh mutu kepimpinan

Raja Muda Perlis bersama anggota Rejimen 504 Askar Wataniah.
Raja Muda Perlis bersama anggota Rejimen 504 Askar Wataniah.
A
A
A

PADANG BESAR - Anggota Rejimen 504 Askar Wataniah perlu mempertingkatkan dan mengukuhkan lagi mutu kepimpinan supaya setiap anggotanya mempunyai kualiti yang lebih tinggi.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, antara perkara yang akan dipandang serius dan perlu dipertingkatkan lagi ialah asas seperti ‘Know Your Man’ pada setiap peringkat terhadap ‘Chain of Command’ atau rangkaian pemerintahan dalam organisasi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Tuanku Komander rejimen menitahkan pasukan yang mula diwujudkan pada 7 September 1981 itu agar lebih berdisiplin dan mempunyai kualiti diri yang tinggi.

"Kita akan cuba untuk mendapatkan slot bagi menghantar anggota menyertai latihan bersama angkatan tetap apabila dilaksanakan di peringkat briged dan komponen-komponennya dari masa ke semasa," titah baginda ketika menghadiri sambutan hari ulang tahun Rejimen 504 Askar Wataniah ke-39 di padang kawad Kem Bukit Keteri, Padang Besar petang semalam.

Para tetamu yang hadir menyaksikan persembahan kawad senyap oleh anggota tetap dan kerahan rejimen itu sebagai gimik pelancaran sambutan sebelum upacara memotong pulut kuning yang disempurnakan oleh Tuanku Raja Muda.

Selepas selesai majlis, baginda diiringi pegawai dan anggota lain-lain pangkat rejimen berserta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan mengambil bahagian dalam program berbasikal yang disekalikan dengan aktiviti ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali ke-64 bagi tahun 2019.

Bersempena kayuhan tersebut, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyerahkan agihan zakat sebanyak RM600 kepada 34 orang asnaf terpilih di sekitar kawasan dilalui.

Baginda turut berkenan merasmikan Projek Peningkatan Sosio-Ekonomi Asnaf MAIPs berupa sebuah perusahaan katering oleh Shazaliza Abu Yazid di Bukit Keteri.

Artikel Berkaitan:

Shazaliza telah menerima sumbangan daripada MAIPs berjumlah RM1,380 sebagai bantuan untuk membeli peralatan dapur.