Ubah suai kuasa veto untuk elak salah guna: Dr Mahathir

Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada Debat Umum sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi Ke-74 di Ibu Pejabat PBB pada Jumaat.
 -Foto Bernama
Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada Debat Umum sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi Ke-74 di Ibu Pejabat PBB pada Jumaat.
 -Foto Bernama
A
A
A

NEW YORK - Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sudah tiba masanya untuk kuasa veto diubah suai jika pun ia tidak dapat dimansuhkan sepenuhnya serta menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kembali kepada tujuan asal penubuhannya.

Beliau mencadangkan supaya penggunaan kuasa veto hanya sah jika dua negara yang mempunyai kuasa veto bersama tiga anggota yang tidak memiliki kuasa veto bersetuju untuk menggunakannya demi memastikan kekerapan salah guna kuasa veto berkurangan.

"Negara yang memiliki kuasa veto tidak sepatutnya menganggap diri mereka sentiasa tidak terkecuali daripada undang-undang dan norma antarabangsa," kata Dr Mahathir ketika menyampaikan kenyataannya pada Perbahasan Umum Sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di sini Jumaat.

Beliau berkata lima negara mendakwa mencapai kemenangan dalam Perang Dunia Kedua tiga suku abad yang lalu, dan atas dasar itu, menegaskan hak untuk memerintah dunia, dengan memberikan diri mereka kuasa veto terhadap semua negara dunia dalam PBB.

"Berapa lama lagi kumpulan ini harus dibenarkan untuk menggunakan kuasa ini? Berapa lama, selama-lamanya? Jangka masa yang tidak dinyatakan itu nampaknya kekal," kata beliau sambil merujuk kepada kuasa veto yang dimiliki oleh lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB-China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Dr Mahathir berkata bahawa kuasa veto itulah yang menyebabkan perlumbaan memiliki senjata, dengan setiap dari lima negara berkenaan menggunakan kekuatan tentera masing-masing bagi mencabar sebarang percubaan untuk melucutkan kuasa veto masing-masing.

Perdana Menteri menegaskan bahawa sebenarnya kuasa veto adalah bertentangan dengan semua prinsip hak asasi manusia yang negara-negara itu sendiri sendiri mendakwa memperjuangkannya.

"Setiap daripada negara ini boleh menafikan kehendak hampir 200 negara lain. Ia benar-benar dan sama sekali tidak demokratik. Anehnya, ada di antara mereka yang menyelar negara-negara lain di dunia kerana kononnya tidak demokratik atau tidak cukup demokratik," kata Dr Mahathir.

Artikel Berkaitan:

Beliau menyatakan bahawa ia menghapuskan tujuan asal PBB yang mereka wujudkan dan memastikan bahawa semua penyelesaian tehadap semua konflik boleh dinafikan oleh mana-mana daripada mereka, dan dengan itu menggagalkan semua usaha untuk menyelesaikan masalah.

"Kita mesti mengembalikan kepada tujuan asal organisasi yang hebat ini - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kita mesti menghukum negara yang mencetuskan perang dan perlu menjadikan dunia aman untuk semua.

"Itu adalah misi asal kita dan ia harus dikekalkan sebagai misi kita. Hanya jika kita berjaya, kita boleh menganggap bahawa kita adalah masyarakat bertamadun," kata Perdana Menteri.

"Tiga suku abad adalah sesuatu yang lama. Kita tidak boleh dijadikan tebusan disebabkan peristiwa-peristiwa yang telah berlalu lama," tegasnya.

Beliau mengulangi pandangan bahawa struktur PBB sekarang menyebabkan ia tidak mampu untuk mencapai matlamat prinsipnya iaitu menghalang peperangan antara negara.

"Memang, struktur itu telah menggalakkan peperangan antara negara dan dengan negara," kata beliau.

Dr Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa PBB telah gagal melindungi negara miskin daripada terjerumus ke kancah perang tetapi telah mencapai hasil yang baik dalam bidang lain.

Beliau memuji peranan PBB dalam menyumbang terhadap bidang kesihatan yang lebih baik, meringankan penderitaan beberapa segmen golongan miskin dan yang memerlukan, dan menjamin tahap keselamatan dan kestabilan di kawasan-kawasan yang dilanda konflik dalaman.

"Badan dunia itu boleh melakukan lebih banyak lagi. Tetapi ia mengalami kekangan dana. Negara termasuk yang amat kaya tidak melunaskan sumbangan mereka. Ini amat memalukan," kata beliau.

Dr Mahathir berkata negara-negara perlu menyokong PBB walaupun ia gagal menghalang peperangan kerana usaha badan dunia itu terhadap bidang kesihatan, pendidikan dan keselamatan sosial menjadikan kewujudan PBB sebagai relevan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada petugas PBB atas kerja dan dedikasi mereka dalam bidang-bidang bidang ini, dan Perdana Menteri berkata Malaysia dapat menyumbang kepada badan dunia itu dengan melaksanakan misi-misi pengaman di kebanyakan negara.

"Saya menaruh harapan apabila tiba masanya khidmat mereka tidak lagi diperlukan apabila negara-negara dapat memastikan keselamatan mereka sendiri,” kata beliau.

Dr Mahathir juga menggesa PBB memainkan peranan utama dalam memulihkan kerajaan yang gagal sambil menjelaskan bahawa banyak negara telah gagal kerana jentera pentadbiran tidak berfungsi dengan baik.

Teknologi moden boleh membantu tetapi ada keperluan untuk latihan yang baik, katanya. - Bernama