X

Kindly register in order to view this article
!

Lapan pasukan berdepan bahaya

Sheikh Mohd Nasir - Foto Football Association of Malaysia (Official)
A
A

LAPAN pasukan masing-masing dua daripada Liga Super dan enam daripada Liga Premier berisiko diturunkan liga sekiranya gagal melengkapkan dokumen yang disyaratkan untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum 30 Oktober ini.

Pengerusi First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, dua pasukan Liga Super tersebut adalah Melaka United dan PKNS FC manakala enam pasukan daripada Liga Premier adalah PDRM FA, Pulau Pinang FA, Selangor United FC, Kelantan, Sarawak dan UKM FC masih gagal menyempurnakan dokumen lengkap untuk memastikan mereka mendapat lesen kebangsaan.

“Bagi pasukan Liga Super, Melaka dan PKNS diberikan lesen kebangsaan tetapi bersyarat iaitu perlu melengkapkan dokumen tersebut sebelum 30 Oktober ini, jika tidak mereka akan diturunkan ke saingan Liga Premier.

“Manakala, untuk pasukan Liga Premier pula, PDRM, Pulau Pinang dan Selangor United juga diberikan lesen kebangsaan tetapi bersyarat iaitu perlu melengkapkan dokumen tersebut sebelum 30 Oktober ini, jika tidak mereka akan diturunkan ke saingan Liga M3.

“Untuk Kelantan, Sarawak dan UKM, kami menangguhkan keputusan status permohonan mereka memandangkan ini kali pertama lesen ini diwajibkan kepada pasukan di Liga Premier, tetapi mereka juga perlu lengkapkan borang sebelum tarikh yang sama dan jika tidak mereka akan diturunkan ke Liga M3,” katanya pada sidang media di Kelana Jaya di sini hari ini.

Dalam pada itu, jelasnya, PKNP FC menjadi satu-satunya pasukan yang tidak mendapat lesen kebangsaan selepas permohonan mereka ditolak oleh FAM.

“Mereka gagal memberikan dan tidak memberi maklum balas kepada pihak kami apabila kami meminta mereka memberikan dokumen. Status PKNP dalam saingan liga sama ada akan kekal di saingan Liga Premier atau pun diturunkan ke Liga M3 akan diumumkan kemudian,” katanya.

Sementara itu, Sheikh Mohd Nasir menjelaskan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah FA, Kuala Lumpur FA, Perak FA, Pahang FA, Selangor FA, Terengganu FA, Felda United FC dan PJ City FC, Negeri Sembilan, Sabah dan UiTM FC telah lulus dan diberikan lesen kebangsaan.

Jelasnya, enam pasukan iaitu JDT, Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Selangor dan Terengganu turut diberikan lesen AFC bagi membolehkan pasukan-pasukan ini beraksi pada Liga Juara-Juara Asia 2020, jika mereka layak.

“Lesen Kebangsaan dan lesen AFC ini adalah sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2020 dan sepanjang musim berkenaan, jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2019 atau dalam apa juga keadaan yang menyebabkan pengeluar lesen (FAM) tidak berpuas hati, lesen kelab mereka boleh ditarik balik.

“Sebagai langkah proaktif juga, FAM untuk kali ini telah mensyaratkan setiap pasukan wajib menghantar surat pengisytiharan yang mereka bebas daripada sebarang tunggakan gaji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Perkeso kepada FAM selewat-lewatnya pada 15 Disember 2019, menjelang musim baharu Liga Super dan Liga Premier 2020,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!