Polis gagalkan cubaan samun bersenjata dua remaja di Kuching

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Cubaan samun bersenjata oleh dua remaja di sebuah kedai runcit 24 jam di Batu Kawa di sini berjaya digagalkan pihak polis yang sedang dalam rondaan lewat malam semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Merbin Lisa berkata, tindakan kedua-dua suspek masing-masing berusia 17 dan 19 tahun itu yang menutup muka menggunakan baju dan bersenjatakan parang disedari sepasukan polis peronda berkenaan ketika kedua-duanya sedang memasuki premis terbabit.

Katanya, semasa kejadian kira-kira 11.30 malam hanya seorang sahaja pekerja warganegara asing berusia 20-an berada di premis berkenaan namun beliau tidak dicederakan.

“Polis dengan bantuan tiga anggota unit bermotosikal mengejar suspek sehingga kedua-dua mereka berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini menambah bahawa polis turut merampas sebilah parang dan sebuah motosikal kepunyaan salah seorang suspek.

Merbin berkata, hasil siasatan awal mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan merompak yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda. - Bernama

Artikel Berkaitan: