Kaum dan kelas politik Malaysia

A
A
A

DALAM satu wacana di sebuah universiti awam baru-baru ini, seorang peserta bertanya satu soalan yang menjentik pemikiran.

Soalannya ialah mengapa politik di Malaysia ini terlalu kuat sentimen kaum sedangkan isu-isu seperti harga barang, akses pendidikan, peluang pekerjaan dan sebagainya adalah isu sejagat yang membelenggu dan dirasai oleh semua kaum, baik Melayu, Cina dan India.

Memang ada benarnya kerana kalau harga barang naik mencanak, kesannya kena pada semua bangsa.

Tapi sudahnya ia dipolitikkan dan malangnya kadang-kadang jadi isu perkauman pula, aduhai!

Tidak perlulah dikongsi apa jawapan panel terhadap soalan tersebut. Namun apa yang ditanya itu sememangnya menarik dan patut untuk diperbincangkan. Benar amat sukar untuk mengikis sentimen perkauman daripada landskap politik Malaysia.

Sebagai sebuah negara bermasyarakat majmuk yang komposisi kaumnya agak seimbang (dalam perspektif Melayu/bumiputera vs bukan Melayu/Bumiputera), elemen-elemen primordial seperti kaum, agama, bahasa dan budaya begitu sebati dengan budaya politik Malaysia.

Menonjol di Barat

Berbanding di Barat, elemen-elemen kelas lebih menonjol dalam politik mereka. Sebab itu isu-isu sejagat seperti hak asasi, keadilan sosial, dan kelestarian sinonim dengan aktiviti parti politik di sana. Sebab itu jugalah politik mereka lebih maju dan matang.

Artikel Berkaitan:

Ia adalah kerana perspektif kelas yang ditonjolkan itu menjadikan masyarakatnya lebih kritikal dan terbuka disebabkan mereka melihat politik negara dalam suasana yang lebih objektif dan berpartisipasi berbanding kita yang lebih subjektif dan sempit di dalam iklim politik yang pasif.

Persoalannya mengapa kesedaran kaum lebih menonjol dalam politik Malaysia berbanding kesedaran kelas.

Kalau menurut BN Cham (1975), kesedaran kelas tidak menjelma dan tenggelam berbanding kesedaran kaum dalam politik Malaysia disebabkan adanya manipulasi elit (pemerintah) yang mahu mengekalkan kuasa dan kedudukan mereka menerusi pembentukan kesedaran palsu (false consciousness) menggunakan elemen perkauman yang akhirnya menjadikan masyarakat lebih sensitif tentang masalah antagonisme kaum berbanding permasalahan kelas.

Hal itu turut dipersetujui sarjana-sarjana lain seperti Simon Barraclough (1985), KS Jomo (1986), Jesudason (1995) dan Harold Crouch (1996).

Penggunaan alat-alat pemerintahan seperti instrumen perundangan dan jentera kerajaan menjadi senjata ampuh bagi mengekalkan dominasi dan mengukuhkan kuasa pemerintah daripada tergugat. Kawalan ketat ke atas sumber maklumat terutamanya akses kepada media massa membolehkan elit politik mengawal dan membentuk pemikiran serta persepsi rakyat terhadap mereka.

Sebab itulah rakyat secara keseluruhannya tidak berupaya mempengaruhi apatah lagi menguasai kerajaan walaupun secara teorinya kerajaan diistilahkan sebagai ‘kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat’.

Walaupun rakyat memilih kuasa politik (undi) yang membolehkan mereka menukar kerajaan pada pilihan raya, mereka tidak berupaya untuk berbuat demikian kerana kuatnya hegemoni, indoktrinasi dan manipulasi pemerintah ke atas mereka.

Ini menjadikan rakyat tidak sedar akan keadaan sebenar lantas berterusan memberikan sokongan kepada pemimpin kaum masing-masing. Mereka dirasakan layak memerintah kerana telah dianggap sebagai pembela dan pejuang disebabkan jasa dan sumbangan kepada kelompok mereka.

Ditambah pula dengan hubungan penaung dinaung dalam konteks pengagihan sumber dan sokongan politik yang bersifat peribadi dan pampas-memampas, akhirnya kesedaran kelas makin sukar untuk ditimbulkan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Sebab itu walaupun politik negara sedang bergerak ke arah sistem dua parti, ia kelihatan tidak sama sepertimana yang diamalkan di negara-negara maju.

Kalau di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), sistem dua partinya memperlihatkan persaingan bersifat ideologi dalam konteks kesejagatan, lain pula di Malaysia kelihatan penciptaan sistem dua parti ketika ini cenderung untuk mengikut jalur ras dan agama.

Dengan penggabungan UMNO-Pas sebagai parti saingan terdekat kerajaan Pakatan Harapan (PH) menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), nampaknya kita masih perlu menanti lebih lama untuk menyaksikan kemunculan kesedaran kelas yang seterusnya membawa negara keluar dari kepompong politik perkauman.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)