X

Kindly register in order to view this article
!

'Keadilan sebenar tertangguh selagi pelaku tak ditangkap'

A
A

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Koroner ketika kes kematian Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini ternyata berpihak kepada anggota bomba itu namun keadilan sebenar dilihat masih tertangguh kerana pelakunya belum ditangkap.

Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan hari ini adalah berita gembira buat keluarga Muhammad Adib dan seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, keputusan Mahkamah Koroner juga dilihat tepat serta terbaik dalam beberapa sudut termasuk keamanan dan keselamatan negara.

Beliau berkata, jelas mahkamah menegakkan keadilan tanpa rasa takut dan bebas daripada pengaruh Peguam Negara berdasarkan afidavit terdahulu yang mana Peguam Negara membuat satu keputusan pra-matang yang menyatakan kematian Muhammad Adib bukan dipukul.

Ismail Sabri
Ismail Sabri

Katanya, tempoh 41 hari perbicaraan inkues itu merupakan masa yang cukup mencabar hakim yang memerlukan penelitian adil dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

"Keadilan telah ditegakkan, kedaulatan undang-undang dijulang... akhirnya terjawab segala polemik punca kematian Muhammad Adib.

"Bagaimanapun, proses inkues selama 41 hari hanyalah untuk mencari punca kepada kematian tetapi jauh lebih penting ialah untuk menghukum pelaku atau yang menyebabkan kematian anggota bomba itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berharap, polis dapat menyegerakan siasatan terhadap pelaku terlibat dan mengheret mereka ke mahkamah.

"Polis juga perlu menyiasat penghasut yang menyemarakkan keadaan perusuh ketika insiden di kuil pada malam Muhammad Adib dipukul tanpa rasa takut walaupun mereka terdiri daripada orang-orang kenamaan sama ada exco kerajaan negeri atau menteri.

"Kekhuatiran saya adalah mengenai pendakwaan terhadap pembunuh Muhammad Adib kerana keadilan sebenar adalah apabila mereka yang bertanggungjawab mendapat balasan setimpal dengan perbuatan mereka, " katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau melihat kewajaran kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong agar Peguam Negara dipecat dan ditamatkan perkhidmatan.

"Peguam Negara tidak menunjukkan sikap profesional ketika mengendalikan kes inkues ini malah memalukan Institusi Jabatan Peguam Negara dan jawatan Peguam Negara itu sendiri dan seterusnya Komuniti Perundangan seluruh Malaysia.

"Jadi wajar jika Peguam Negara segera meletak jawatan setelah mengetahui keputusan inkues pada hari ini kerana ia bertentangan dengan kenyataan yang pernah beliau keluarkan ketika proses perbicaraan inkues berlangsung," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat, cari pihak terlibat kematian Adib: KPN

Jangan jadikan keputusan Inkues Adib isu perkauman: TPM

Kematian Adib disebabkan jenayah sekumpulan individu tidak dikenali


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!