Semua rakyat bertanggungjawab jaga keamanan negara: Wan Azizah

Dr Wan Azizah (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Karnival Rahmah 2019 anjuran bersama JPM, Jakim dan Jawi sambil diiringi Mujahid (kiri), Salahuddin (dua dari kanan) dan Khalid di Dataran Putrajaya di sini hari ini.
Dr Wan Azizah (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Karnival Rahmah 2019 anjuran bersama JPM, Jakim dan Jawi sambil diiringi Mujahid (kiri), Salahuddin (dua dari kanan) dan Khalid di Dataran Putrajaya di sini hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tanggungjawab mengekalkan keamanan mestilah dipikul setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keamanan yang rakyat nikmati hari ini hendaklah disyukuri bagi mengelakkan detik hitam tragedi 13 Mei 1969 berulang.

Menurutnya, rakyat dapat lihat di mana banyak masalah akan timbul ekoran tidak wujudnya persepakatan padu di antara kaum.

"Saya difahamkan bahawa Karnival Rahmah (dirasmikan hari ini) adalah untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama yang mana amat bertepatan dengan tema kali ini iaitu Rahmah Untuk Semua.

"Salah satu matlamat utama karnival ini dilaksanakan adalah untuk merealisasikan konsep Rahmah itu sendiri agar jelas dirasai oleh seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.

"Justeru, nilai kasih sayang dan saling menghormati meliputi seluruh umat manusia yang difahami dari konsep Rahmatan lil Alamin adalah nilai mesti dihayati oleh setiap individu," katanya dalam ucapan perasmian Karnival Rahmah 2019 anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, Karnival Rahmah akan diperluaskan penganjurannya ke seluruh negara pada masa hadapan selepas pelancaran julung kali diadakan di Putrajaya ini.

Artikel Berkaitan:

Penganjuran karnival itu bagi memberi pendedahan kepada rakyat pelbagai agama dan kaum menghayati gagasan pentadbiran Islam yang dibawa kerajaan.

Menurutnya, ia juga bertujuan menyebarkan kefahaman kepada umat Islam dan penganut agama lain bahawa Islam adalah agama harmoni dan menghormati semua tanpa mengira agama serta kaum.

”Pelbagai program dan aktiviti menarik telah disediakan pada karnival ini untuk seluruh lapisan masyarakat di Malaysia, antaranya Mini Karnival Kanak-Kanak, Mini Karnival Perumahan, Festival Buku dan pameran.

“Konsep karnival juga berlandaskan edutainment yang menggabungkan elemen pendidikan dan hiburan untuk semua.

“Penganjuran karnival ini bersesuaian dengan hasrat kerajaan yang sentiasa ingin memastikan keamanan dan kemakmuran terhadap rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia,” katanya.

Karnival Rahmah 2019@KR19 anjuran JPM di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jawi yang akan diadakan pada 26 hingga 29 September depan adalah program untuk semua kaum bukan khusus untuk umat Islam sahaja.

Program ini bertujuan merakyatkan gagasan Rahmatan lil Alamin yang antara lain untuk memberi pendedahan kepada rakyat pelbagai agama dan kaum untuk menghayati gagasan pentadbiran Islam yang dibawa kerajaan.

Karnival menyasarkan seluruh rakyat untuk hadir tanpa mengira kaum, bangsa dan agama bagi mengukuhkan lagi silaturahim dan hubungan rakyat Malaysia.

Ia juga bertujuan menyebarkan kefahaman kepada umat Islam adalah agama harmoni dan menghormati semua tanpa mengira agama dan kaum.

Program ini selaras dengan keperluan dalam maqasid syariah untuk mengajak orang ramai hidup harmoni dan saling menghormati.