Syarikat kejuruteraan diserbu guna perisian cetak rompak

Set komputer yang mengandungi perisian cetak rompak yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis terletak di Petaling Jaya semalam.
Gambar kecil: Muhammad Zikril Azan Abdullah
Set komputer yang mengandungi perisian cetak rompak yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis terletak di Petaling Jaya semalam. Gambar kecil: Muhammad Zikril Azan Abdullah
A
A
A

PETALING JAYA - Sebuah syarikat kejuruteraan di daerah ini digempur selepas disyaki beroperasi dengan menggunakan perisian cetak rompak.

Serbuan kira-kira jam 12 tengah hari semalam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Petaling Jaya hasil maklumat serta aduan.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata, pemeriksaan dibuat ke atas 15 buah komputer syarikat terbabit.

"Hasil pemeriksaan mendapati dua daripada komputer yang diperiksa itu dipercayai menggunakan perisian AutoCad yang disyaki tiruan.

"Tindakan sitaan dibuat membabitkan rampasan bernilai RM4,000," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, selain itu dua lelaki berusia 28 dan 55 tahun merupakan pekerja syarikat terbabit telah direkod keterangannya bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Hakcipta 1987 yang mana jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali.

Tegasnya, pemeriksaan ke atas syarikat-syarikat yang menggunakan perisian salinan langgaran akan terus dipertingkatkan bagi membendung kegiatan penggunaan perisian tanpa lesen di Petaling Jaya.

Artikel Berkaitan: