Balu Mejar Zahir enggan siasatan kes dibuka semula

Nour Shafinar - Foto Bernama
Nour Shafinar - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Balu kepada Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya membuat pendirian tidak mahu polis membuka semula siasatan kematian suaminya.

Namun, Nour Shafinar Harun, 31, berkata, adalah di luar kawalannya sekiranya ada pihak lain yang ingin membuka siasatan kes berkenaan.

“Sekali lagi saya tegaskan di sini saya tidak akan bertindak untuk membuka kertas siasatan berhubung kes ini.

"Sebagai seorang Islam yang percaya kepada Rukun Iman yang ke-6 (Percaya Kepada Qada dan Qadar) dan percaya setiap yang berlaku itu ada hikmahnya.

“Sekiranya ada pihak lain yang ingin membuka kes atau apa-apa tindakan undang-undang terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu adalah di luar kawalan saya,” katanya melalui kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

No Image Caption

Semalam, bapa Mejar Mohd Zahir iaitu pelakon serta pelawak veteran, AR Badul dan ahli keluarganya tidak berpuas hati dengan kronologi sebenar kematian anaknya itu serta mahu inkues dijalankan bagi mencari punca kematian pegawai komando tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Badul mahu inkues siasat punca kematian Mejar Zahir

Artikel Berkaitan:

ATM hormati keputusan AR Badul mohon inkues kematian Mejar Zahir

AR Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie, 70, menyifatkan penjelasan diberikan Tentera Darat Malaysia (TDM) berhubung siasatan kematian anaknya terlalu ringkas dan tidak menyeluruh.

Mengulas lanjut, Nour Shafinar berkata, beliau menerima berita kehilangan suaminya dan akur dengan qada dan qadar yang telah ditentukan ALLAH SWT.

“Saya telah menerima keputusan dari pihak tertinggi ATM mengenai kes yang melibatkan kematian suami saya.

“Seperti mana orang ramai yang sedia maklum, kematian suami saya tiada kaitan dengan unsur khianat dan dendam. Saya selaku balu Allahyarham sendiri akur dengan qada dan qadar yang telah ditentukan ALLAH SWT,” katanya.

Nour Shafinar juga memaklumkan beliau dengan hati terbuka menerima keputusan dari pihak tertinggi ATM memutuskan bahawa kematian suaminya adalah kes terpencil dan merupakan kemalangan dalam latihan.

“Saya dan pihak keluarga saya reda dengan pemergian Allahyarham sebagai Perwira Negara yang sedang menjalankan tugas,” katanya.

Mejar Mohd Zahir maut dalam insiden ketika membuat aksi gimik pada Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Sabah, awal bulan ini.

Mejar Mohd Zahir adalah Pegawai Tentera Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas merupakan penembak tepat, meninggalkan seorang balu bersama lima orang anak berumur antara enam bulan dan 10 tahun.

Kematian Mejar Zahir diklasifikasikan kemalangan dalam latihan