Perkasakan diri dekat dengan ALLAH menerusi program RICH

ANTARA peserta yang mengikuti program RICH 1.0 secara offline seawal jam 4.30 pagi di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam baru-baru ini.
A
A

PROGRAM Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH) 1.0 kini kembali mengisi kalendar tahun baharu 1441H dengan menampilkan tajuk Kenapa Rezeki Tak Murah yang diadakan di Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, Selangor bermula jam 4.30 pagi hingga 7.30 pagi pada 21 September lalu.

Pengisian program tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail.

Fazrul berkata, RICH bertujuan melatih diri kita bangun awal dan beribadah kepada ALLAH SWT. Dalam erti kata yang lain, 'Me time' iaitu masa untuk diri sendiri bersama ALLAH SWT. Itu merupakan proses pengupayaan dan pemerkasaan diri semakin dekat dengan ALLAH.

“Dalam Surah al-Muzammil dan Surah al-Muddathir menunjukkan, ALLAH SWT mempersiapkan Nabi Muhammad SAW yang diangkat menjadi rasul untuk bangun malam. Terdapat banyak rahsia solat malam sebagaimana disebut dalam Surah al-Isra’, ayat 76 hingga 86.

“Bertadabbur ayat 76, ALLAH memujuk Rasulullah SAW yang gelisah dalam menghadapi cabaran dalam berdakwah hingga keluar dari Makkah. Ini sebagaimana berlaku kepada para rasul terdahulu dalam mengajak umat kepada kebaikan,” katanya ketika berkongsi ilmu dalam program berkenaan baru-baru ini.

Program RICH yang dianjurkan oleh WUIF dan Rumah Ngaji dengan kerjasama Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd turut disiarkan secara langsung melalui Facebook Live @ World #QuranHour untuk tontonan umum.

Pada program berkenaan, selain membaca al-Quran dan bertadabbur ayat pilihan, sesi tersebut direhatkan pada jam 5 pagi untuk memberi laluan kepada peserta mendirikan solat sunat tahajud dan Subuh.

Ia kemudian diteruskan pada jam 6.30 pagi dengan perkongsian daripada tokoh. Bukan itu sahaja, RICH turut berkongsi rakaman video Pengasas WUIF merangkap Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang bercerita pengalaman hidup beliau dalam meraih rezeki.

Sesi tersebut diakhiri dengan resolusi atau tindakan daripada sesi tadabbur ayat al-Quran pilihan yang boleh diambil oleh peserta.

Keberkahan bangun malam

FAZRUL
FAZRUL

Dalam pada itu, Fazrul menambah, orang Yahudi bimbang jika ramai orang Islam mendirikan solat pada waktu Subuh kerana kekuatan bangun pagi. Namun, bangun awal itu bukan menunjukkan kita hebat, tetapi doa kita kepada ALLAH SWT dengan bersungguh-sungguh.

“Kita berharap program RICH dapat memberi kefahaman mengenai konsep rezeki dan murah. Rezeki yang murah bermaksud mendapat keberkahan. Antara cara mendapat keberkahan dengan bangun malam dan bertahajud.

“Pada ayat 79, Surah al-Isra', ALLAH SWT menyatakan mereka yang bertahajud sebagai ibadah tambahan mudah-mudahan akan diangkat ke tempat terpuji. Rahsia kekuatan orang Islam ialah makin banyak berpegang kepada al-Quran, makin banyak mendirikan solat malam dan mendapat kemenangan," ujar beliau.

Fazrul yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sinergi Ikhlas meneruskan tadabbur Surah al-Isra'. Kali ini, beliau menyentuh tentang ayat 80 dalam surah berkenaan. Ujar beliau, firman ALLAH SWT itu memberi panduan kepada kita untuk memohon kepada ALLAH agar dimasukkan dan dikeluarkan ke tempat yang benar dengan bimbingan-NYA.

Jika tersesat, kata beliau, ALLAH akan memimpin kita dan keluarga kembali ke jalan-NYA. Itu bermakna, orang yang bertahajud diberi jalan keluar.

"ALLAH SWT itu Maha Berkuasa, kita tidak boleh mengawal kehidupan kecuali dengan izin-NYA. Pertolongan ALLAH itu amat besar," katanya.

Apapun, beliau mengingatkan agar kita tidak melakukan ibadah tersebut dengan tujuan tertentu. Ada orang mendirikan solat Dhuha untuk mengharapkan kekayaan dan kesenangan sendiri dan bukan kerana ALLAH.

“Ada juga yang melakukan solat tahajud dan solat hajat hanya pada waktu menghadapi peperiksaan. Jika dia tidak dapat apa yang diinginkan, ia mengundang kekecewaan. “Amal ibadah yang kita lakukan ialah peluang untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. Inilah perspektif garis halus yang perlu kita jaga dari segi iman dan akidah,” katanya.

Al-Quran penawar, rahmat

Dalam ayat 82 surah berkenaan, Fazrul menjelaskan, ALLAH menurunkan al-Quran sebagai penawar dan rahmat kepada orang beriman. Orang yang hatinya dirawat dengan al-Quran melihat ujian sebagai kafarah untuk menghilangkan dosa.

Ujar beliau, aktiviti bangun malam ialah formula pemberdayaan dan pemerkasaan insan yang lemah sebagaimana diamalkan oleh Rasulullah SAW. Oleh itu, baginda SAW kekal berstamina dalam perjuangan dakwah selama 23 tahun hingga wafatnya pada usia 63 tahun.

“Bagi orang yang zalim dan tidak adil akan menolak al-Quran dengan menutup pendengaran dan penglihatan mereka. Sedangkan al-Quran merupakan anugerah ILAHI yang mampu menjadi pengubat hati dan pembimbing kita ke jalan yang benar,” katanya.

Bertadabbur ayat 83, kata Fazrul, ALLAH SWT memberitahu psikologi manusia yang zalim ialah apabila ALLAH memberi kesenangan dan nikmat, mereka berpaling dan menjauhi diri dengan sombong. Jika diuji kesusahan, mereka berputus asa.

Ujar Fazrul, bagi orang yang mempunyai hati bercahaya dengan al-Quran, akan berpegang dengan hujah 'ALLAH kan ada' apabila ditimpa ujian. Jika dapat nikmat, mereka akan bersyukur. Tanda syukur adalah mendapat cahaya al-Quran.

Ayat 84 pula menyatakan, setiap orang beramal mengikut personaliti dan cara masing-masing. ALLAH Maha Mengetahui jalan mana seseorang itu mendapat hidayah. Ada orang yang mendapat hidayah apabila mendengar ceramah offline dan online.

Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai RICH yang diadakan setiap Sabtu secara offline dan online pada waktu yang sama, selama tiga bulan bermula 21 September 2019.

RICH 2.0 bertajuk Rezeki keluh kesah bila sedikit, bakhil bila banyak akan diadakan pada jam 4.30 pagi esok (28 September 2019). Untuk maklumat lanjut boleh layari di World #QuranHour.