Putra desak polis klasifikasikan semula kes kematian Adib

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak polis mengklasifikasikan semula siasatan kes berhubung kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim selepas keputusan prosiding inkues kematian anggota bomba itu akibat tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenali.

Naib Presidennya Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, Putra juga mendesak polis menangkap serta menyiasat semula empat suspek yang telah dibebaskan dari tahanan reman pada 10 Disember 2018 lalu.

Menurut Mohd Khairul Azam, pihaknya turut mendesak Peguam Negara segera mendakwa keempat-empat lelaki berkenaan atas pertuduhan membunuh.

"Putra bersyukur atas keputusan Mahkamah Koroner hari ini berhubung punca kematian Allahyarham Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah iaitu dibelasah sehingga mati oleh perusuh yang cuba menghalang anggota bomba memadam kebakaran.

"Putra berharap siasatan kes ini diklasifikasikan semula kepada kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Melalui keterangan saksi dalam prosiding inkues ini pihak polis dan Jabatan Peguam Negara mempunyai bukti yang mencukupi untuk disabitkan atas kesalahan membunuh," katanya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Sementara itu Mohd Khairul Azam mengucapkan tahniah kepada barisan peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Adib kerana telah menjalankan amanah dengan sangat baik sepanjang prosiding inkues berkenaan.

"Mereka (barisan peguam) juga telah menjalankan tugas tanpa rasa takut. Putra dan seluruh rakyat Malaysia mengharapkan keadilan atas kematian Allahyarham Muhammad Adib dapat dilaksanakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kematian Adib disebabkan jenayah sekumpulan individu tidak dikenali

Mahkamah Koroner, Rofiah Mohamad membuat keputusannya sebentar tadi selepas prosiding perbicaraan memakan masa 41 hari.

Dalam keputusannya, Rofiah berkata, kecederaan lung chest trauma dialami Muhammad Adib disebabkan arwah telah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).

Sehubungan itu, Rofiah berkata, mahkamah menyerahkan dapatan tersebut kepada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan sekiranya diperlukan.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan JPBM Subang Jaya parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.