Wanita berhadas besar tidak diharuskan berwuduk

A
A
A

SEBELUM menunaikan solat atau melakukan ibadah yang lain, setiap orang akan mendahulinya dengan berwuduk.

Malah, ada juga yang melazimi wuduk sebelum tidur.

Bagi wanita yang berhadas besar seperti dalam keadaan haid, bolehkah mereka berwuduk?

Pada asalnya, berwuduk adalah untuk melakukan ibadah khusus seperti membaca al-Quran, tawaf, solat dan selainnya.

Di samping itu, kita juga disunatkan berwuduk untuk tujuan melakukan ibadah umum seperti ketika hendak tidur, mengulangi jimak dan selainnya.

Para ulama berbeza pandangan dan pendapat berkenaan wanita haid berwuduk tanpa apa-apa tujuan atau ketika hendak tidur, hukumnya harus atau tidak.

Sebahagian ulama memakai hukum keadaan orang yang berjunub iaitu hukumnya sama dengan keadaan haid diharuskan berwuduk.

Ia seperti diriwayatkan dalam sahih Muslim berkenaan arahan Nabi Muhammad SAW iaitu berwuduk untuk mengulangi jimak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ulama selainnya tidak mengharuskan berwuduk ketika hendak tidur atau sengaja berwuduk tanpa apa-apa tujuan bagi wanita haid kerana mereka membezakan keadaan junub dan haid.

Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim menyatakan bahawa Mazhab Syafie tidak ada galakan untuk wanita haid berwuduk kerana ia tidak memberikan apa-apa kesan.

Oleh itu, tidak diharuskan wanita haid untuk berwuduk ketika dalam keadaan haid.

Imam al-Suyuthi pula dalam kitabnya menyatakan, asal bagi suatu ibadah itu berhenti sehingga ada dalil mengharuskannya.

Dalam masalah itu, tidak ada dalil jelas berkenaan keharusan wanita haid berwuduk, maka hukumnya tidak diharuskan.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.