Sejenak bersama OKP

A
A

JIKA OKU adalah ringkasan untuk orang kurang upaya, OKP pula merupakan singkatan bagi orang kena pengawasan, iaitu mana-mana individu yang sama ada telah diperintahkan oleh mahkamah atau secara sukarela menjalani rawatan di pusat pemulihan.

Selepas tamat tempoh pemuli han, individu tersebut berada di bawah pengawasan di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah. Kebiasaannya dalam tempoh dua tahun selepas menjalani rawatan atau pemulihan.

Antara syarat pengawasan di bawah Seksyen 6(2) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 adalah - OKP mestilah tinggal di dalam kawasan yang ditetapkan; tidak boleh meninggalkan kawasan tempat tinggal tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah AADK; melaporkan diri di balai polis yang ditetapkan pada waktu yang telah ditentukan; tidak boleh mengambil, menggunakan atau memiliki apa-apa dadah berbahaya; hendaklah menjalani apa-apa ujian pada bila-bila masa sekiranya diperintahkan; dan hendaklah menjalani apa-apa program pemulihan yang diadakan oleh kerajaan.

Baru-baru ini, program Sejenak Bersamamu yang dianjurkan bersama AADK Negeri Kelantan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan Majlis Amal Islami Malaysia (Maim) Kelantan telah diadakan di Gelora Beach Resort, Bachok bersama 75 OKP.

Syabas sekali lagi kepada Dr Mohamad Hamzah, Pengerusi Maim Kelantan, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Antidadah Maim Kelantan, yang begitu aktif menganjurkan pelbagai program menangani dan membanteras dadah walaupun sibuk dengan tugas hakiki beliau di hospital.

Terdapat 8,160 OKP di seluruh negeri Kelantan dan Kota Bharu mempunyai OKP teramai iaitu 1,610 orang, diikuti Bachok dengan lebih daripada 1,000 OKP.

Program ini diadakan bagi memberi peluang kepada NGO yang bernaung di bawah Maim Kelantan untuk menyelami dan memahami permasalahan yang dihadapi oleh OKP.

Setiap OKP dalam kumpulan lima orang telah ditemu bual oleh wakil-wakil NGO yang hadir.

Antara soalan yang diajukan adalah bagaimana mereka terjebak dengan penagihan dadah juga peranan keluarga, masyarakat setempat dan AADK dalam membantu memulihkan mereka.

Selain itu, mereka juga ditanyakan soalan tentang amalan-amalan syariat seperti solat dan lain-lain, serta harapan mereka dan bagaimana pihak NGO boleh membantu.

Terlibat dalam program tersebut, kumpulan saya terdiri daripada wakil Yadim dan Macma Kelantan dan empat OKP yang berumur 20-an dan seorang 51 tahun.

Empat daripada mereka belajar sehingga SPM manakala seorang lagi sehingga tingkatan tiga sahaja. Seorang ketagih air ketum yang dicampur ubat batuk, manakala selebihnya ketagih pil kuda.

Yang berusia 20-an terjebak akibat pengaruh rakan sebaya manakala yang sudah agak lanjut usia kerana faktor kerja sebagai nelayan.

Dol (bukan nama sebenar) mulanya mengambil pil kuda agar beliau boleh melakukan kerja yang berat untuk masa yang lama. Rangsangan fizikal ini amat berguna baginya untuk bekerja di laut.

Pada mulanya, memang dia berasa lebih bertenaga tetapi selepas itu, dia menjadi sangat letih dan lemah. Kerana itu, dia menggandakan pengambilan pil kuda dan lama-kelamaan, dia tidak boleh mengawal dirinya dan menjadi hamba dadah.

Ketika mula mengambil dadah, Dol berumur 30-an dan mempunyai tiga orang anak. Kini, dia mempunyai enam orang anak. Isterinya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah di Bachok. Apabila jirannya membuat laporan kepada pihak AADK, Dol ketika itu berasa sangat marah.

Kini, beliau amat berterima kasih kepada jiran tersebut kerana hasil daripada rawatan di pusat pemulihan, beliau sudah setahun bebas daripada dadah.

Dol telah melihat begitu ramai kawannya yang kehilangan segala-galanya akibat najis dadah. Mereka hilang keluarga, harta dan sahabat dan ada yang merempat dan tidur di kaki lima akhirnya.

Pada usia 51 tahun, Dol berazam untuk menjadi seorang ketua keluarga yang baik. Dia bersyukur kerana ketiga-tiga anak lelakinya bukan sahaja membenci dadah tetapi juga tidak menghisap rokok.

Dol kini turut menghadiri program qiyamullail bersama Ustaz Bahrain, Imam Tua Masjid Mahmudi, Bachok yang juga menganjurkan program bersama OKP setiap bulan.

Syabas sekali lagi kepada Maik, AADK dan MAIM Kelantan dan semua pihak yang berusaha untuk membantu golongan OKP.

Kerjasama sebegini penting dan bernilai dalam membantu kerajaan membebaskan Malaysia daripada masalah penagihan dadah.*Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.