Dua beradik ditinggalkan di kem gelandangan

Volodymyr dan isterinya, Bozhena meninggalkan dua anak kecil mereka di kawasan hutan yang dijadikan kem golongan gelandangan di selatan Ukraine.
Volodymyr dan isterinya, Bozhena meninggalkan dua anak kecil mereka di kawasan hutan yang dijadikan kem golongan gelandangan di selatan Ukraine.
A
A
A

KIEV - Dua anak kecil diselamatkan dari sebuah kawasan hutan yang dijadikan kem orang gelandangan di selatan Ukraine baru-baru ini.

Andrey yang berusia 3 tahun dan adik lelakinya Maksim, 2, tinggal di kawasan hutan berhampiran Zaporizhia selama seminggu bersama sekumpulan kaki botol.

Media tempatan melaporkan, kanak-kanak terbabit ditinggalkan di kawasan itu oleh kedua ibu bapa mereka.

Kanak-kanak terbabit bagaimanapun bernasib baik apabila dijaga Sergey, seorang gelandangan yang mendirikan khemah kecil di kawasan tersebut.

"Satu pasangan muda datang dan meminta saya menjaga anak mereka buat sementara waktu. Semasa tiba, kedua-dua anak kecil ini tanpa pakaian dan berkaki ayam.

"Mereka beri alasan mahu ke kedai berhampiran untuk membeli makanan dan berjanji mengambil anak mereka 20 minit kemudian.

"Mereka beredar dan tidak pernah kembali," kata lelaki berusia 42 tahun itu.

Menurut Sergey, sepanjang tempoh berkenaan, dia dan rakan-rakan lain terpaksa menjaga dua beradik itu secara bergilir-gilir dan berkongsi makanan dengan mereka.

Artikel Berkaitan:

Pada 26 Ogos lalu, seorang wanita, Olena Tashesvska terlihat kelibat dua beradik itu sebelum memaklumkannya kepada polis.

Susulan itu, polis menahan Volodymyr Zaitsev dan pasangannya, Bozhena Synychka.

Pasangan terbabit turut berdepan tuduhan pengabaian anak serta saman daripada jabatan kebajikan.

Kanak-kanak terbabit telah dikejarkan ke hospital dan doktor mendapati mereka mengalami pelbagai jangkitan serta kekurangan zat. - Agensi