Tembok besi ubah hidup Boy

Boy mula kenal dan dalami al-Quran sejak berada di Penjara Kajang, Selangor.
Boy mula kenal dan dalami al-Quran sejak berada di Penjara Kajang, Selangor.
A
A
A

BENTONG - Berada di sebalik tembok besi berjaya merubah kehidupan seorang pemuda yang berasal dari Sarawak ke arah lebih positif.

Pemuda terbabit, Boy (bukan nama sebenar) yang kini berusia 22 tahun sudah mampu mengenali al-Quran.

Boy yang mewakili Penjara Kajang, Selangor itu ditemui selepas muncul juara dalam acara hafazan kategori lelaki tahap dua sempena Majlis Perujian Hafazan al-Quran Kali Ke-11 yang diadakan di Penjara Bentong di sini hari ini.

Menurutnya, dia yang dahulunya tidak mengambil berat kepada pembacaan al-Quran tidak menyangka bukan sahaja mampu menghafal al-Quran tetapi dinobatkan juara dalam pertandingan itu.

"Saya tidak pernah bermimpi mampu menghafal al-Quran apatah lagi untuk memasuki pertandingan seperti ini tetapi Alhamdulillah apabila masuk ke penjara saya telah mampu berubah.

"Sebelum ini semasa di luar penjara saya lupa berpijak di bumi ALLAH tetapi bila susah dan berada di sini barulah memberi kesedaran, saya kini berpijak di bumi nyata," katanya.

Boy ketika menerima hadiah yang disampaikan Abdul Aziz selepas muncul juara kategori hafazan tahap dua dalam Majlis Perujian Hafazan al-Quran Kali Ke-11 yang diadakan di Penjara Bentong di sini semalam.
Boy ketika menerima hadiah yang disampaikan Abdul Aziz selepas muncul juara kategori hafazan tahap dua dalam Majlis Perujian Hafazan al-Quran Kali Ke-11 yang diadakan di Penjara Bentong di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Boy yang dijangka akan dibebaskan pada 2023 selepas dimasukkan ke dalam penjara pada tahun lalu berkata, dia akan terus menghafaz dan mendalami al-Quran selepas dibebaskan nanti.

Pemuda itu antara 169 penghuni penjara menyertai pertandingan tersebut yang berlangsung sejak Selasa lalu.

Pertandingan yang disertai 31 institusi penjara turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Abd Aziz Abd. Razak yang menyempurnakan majlis perasmian penutup pertandingan.

Hadir sama Pengarah Penjara Pahang, Datuk Ab Basir Mohamad dan Pengarah Penjara Bentong, Muhammad Zuki Muhammad Zain.

Dalam pertandingan itu, Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka muncul juara keseluruhan manakala dalam kategori hafazan lelaki tahap satu hingga tiga masing-masing dimenangi Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan; Penjara Kajang Selangor dan Penjara Marang, Terengganu.

Bagi kategori wanita pula menyaksikan Penjara Kluang, Johor meraih juara kategori hafazan tahap satu, Penjara Sungai Udang, Melaka (tahap dua) dan Penjara Bentong (tahap tiga) manakala nasyid dimenangi Penjara Kluang, Johor.

Sementara itu, Abd Aziz berkata, pihaknya akan memperluaskan lagi pertandingan hafazan dengan melibatkan kakitangan penjara di seluruh negara pada tahun hadapan.

Katanya, pertandingan yang melibatkan pegawai penjara itu menunjukkan kesungguhan Jabatan Penjara dalam hafazan al-Quran bagi menghayati bersama.