Angka kematian gempa bumi Ambon meningkat 23 orang

Penduduk yang panik menyelamatkan diri ke kawasan tanah tinggi.
A
A

KOTA AMBON - Angka kematian akibat gempa bumi 6.5 magnitud yang melanda pulau Maluku, Indonesia melonjak kepada sekurang-kurangnya 23 orang.

Gabenor Maluku, Murad Ismail berkata, jumlah itu berdasarkan data dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) setakat semalam.

Sementara itu, Ketua BPBD Maluku, Farida Salampessy memaklumkan, kawasan terjejas teruk akibat gegaran semalam adalah wilayah Kecamatan Salahutu, Kabupaten Maluku Tengah dan Pulau Ambon.

"Banyak rumah rosak dan ramai penduduk terutamanya di Salahutu memilih untuk menyelamatkan diri ke kawasan hutan akibat penyebaran berita palsu mengenai tsunami.

"Malam ini pegawai kami ke sana untuk menyerahkan khemah," katanya.

Tambahnya, sebanyak 116 buah rumah di wilayah itu rosak teruk.

Gempa bumi yang melanda pedalaman Maluku semalam memusnahkan kediaman dan menyebabkan tanah runtuh.

AFP melaporkan, gempa berukuran 6.5 magnitud melanda sekitar 8.45 pagi (waktu tempatan) membuatkan penduduk yang panik melarikan diri ke jalan raya ketika beberapa bangunan runtuh di sekitar mereka.

Tinjauan oleh Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa itu berlaku kira-kira 37 kilometer di timur laut Ambon, wilayah Maluku pada kedalaman 29 kilometer. - Agensi