Netizen jenis apakah anda?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KELMARIN semasa Merak Jalanan leka melayari Facebook sebuah portal berita, mata Merak Jalanan terus jadi kecil besar, kecil besar. Seram sejuk baca komen netizen sekarang ni. Kalau dekat musim pilihan raya, kalau artikel politik saja kita boleh tengok komen ganas.

Tetapi sekarang, posting artikel masak-masak atau hias rumah pun orang nak kecam.

Merak Jalanan bukan apa, takut satu hari nanti para netizen semakin tersasar matlamat asal menggunakan media sosial. Jangan salah guna kebebasan bersuara dan sebaiknya, gunakan bahasa molek untuk membuat teguran.

Mark Zuckerberg cipta Facebook supaya sesama kita dapat get connected dan bukannya saling mengecam.

Sampai ada segelintir netizen itu tergamak mengeluarkan kata-kata kesat kepada admin page itu.

“Hoi, admin ni mabuk ketum ke?”

Agaknya, si admin daun ketum pun tak pernah tengok. Pandai-pandai ajelah netizen ini.

Mengikut pemerhatian Merak Jalanan, daripada trend yang berlaku sekarang, bermula dengan komen kasar seorang diri, kemudian ia melarat menjadi aktiviti berkumpulan.

Artikel Berkaitan:

Akhirnya, berlaku kes lapor polis dan saman-menyaman. Adakah anda rasa pihak polis begitu banyak masa hendak melayan anggota masyarakat seperti ini?

Usahlah menjadikan ruangan komen di media sosial sebagai tempat melampiaskan amarah atau melepaskan tekanan anda.Tatacara tulisan kita akan dinilai seberapa ramai orang lain yang mengunjungi laman tersebut dan perkara pertama yang mereka lakukan adalah menyemak profil anda.

Ada yang gambar profil posing bersama anak-anak, ada yang elok menutup aurat, ada yang bersongkok dan berpakaian seperti seorang yang budiman.

Jadi mengapa penampilan tidak seiring dengan tulisan anda?

Satu sahaja Merak Jalanan mahu tanya, netizen jenis apakah anda mahu jadi?