Kembara rindu Buya Hamka

A
A
A
“MELAYU itu ialah mereka yang – berfikir, merasa, menangis dan ketawa, tidur dan bangun dalam bahasa Melayu.” – Hamka.

Sudah lama saya bercita-cita ingin ke kampung kelahiran Buya Hamka di Danau Maninjau, tetapi kekangan masa dan komitmen setempat menyebabkan perancangan itu sentiasa ditangguhkan. Namun takdir ALLAH akhirnya mengizinkan saya bersama-sama pasukan Jejak Tarbiah untuk menjejakkan kaki ke sana. Pucuk dicita ulam mendatang.

Saya menghormati Buya Hamka kerana pemikirannya yang diterjemahkan melalui buku-buku beliau. Walaupun lahir di Indonesia, namun beliau sangat terkenal di Malaysia dan seantero wilayah Nusantara. Pengagum beliau akan melihat Buya Hamka bukan sahaja sebagai ulama, malah budayawan, ahli falsafah, sasterawan dan pemikir.

Pada tahun 1981, semasa darjah tiga saya sudah mulai membaca Tasawuf Moden milik arwah bapa, namun saya tidak memahami isi kandungannya. Ketika dalam darjah lima, saya juga membaca novel roman Hamka iaitu Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, semuda itu saya mula mengikuti kisah cinta Hayati dan Zainuddin. Sehingga kini saya tidak jemu membaca novel ini.

Mengimbau catatan sejarah, Hamka adalah nama pena kepada Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah. Beliau dilahirkan pada 17 Februari 1908 di Nagari Sungai Batang, Danau Maninjau, Sumatera Barat. Beliau ialah anak kepada ulama Minangkabau, iaitu Syeikh Abdul Karim bin Amrullah.

Ketika usianya 16 tahun beliau berhijrah ke Yogjakarta untuk mendapat pendedahan ilmu-ilmu sejarah Islam, sosiologi dan falsafah daripada tokoh pembaharuan Indonesia seperti Haji Oemar Said Chokroaminoto, Ar Sutan Mansuir dan R.M Suryopranoto. Pada usia 19 tahun, beliau belayar menunaikan haji dan berada di sana selama enam bulan.

Sepulangnya dari Makkah, beliau terus mengembangkan gerakan Muhammadiyah dan membantu menguruskan sekolah Kulliyatul Muballighin Padang Panjang, iaitu pesantren di mana Hamka sendiri pernah jadi guru besar pada awalnya.

Hamka berhijrah ke Medan pada tahun 1936, dan memimpin majalah Islam, Pedoman Masyarakat. Di sini, Hamka berkenalan rapat dengan pejuang kemerdekaan seperti Soekarno dan Mohammad Hatta. Tidak hairanlah Hamka juga antara individu yang berjuang menuntut kemerdekaan Indonesia.

Di sana jugalah, Hamka menerbitkan novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Dengan penuh seni, Hamka mengkritik adat Minangkabau yang dinaratifkan menerusi watak Zainuddin yang terlalu menjulang adat. Bayangkan pada tahun 30-an, kritikan sosial sudah bermula pada tulisan Hamka.
Artikel Berkaitan:


Setelah Indonesia merdeka (pada 1945), Hamka turut sama terlibat pada pilihan raya pertama Indonesia pada 1955 dan terpilih sebagai Ahli Parlimen mewakili parti Masyumi (Parti Majelis Syuro Muslimin Indonesia). Hubungan tegang antara Masyumi dan Soekarno membawa kepada pengharaman parti itu pada 1960.

Hamka tidak senang dengan pengaruh komunis dalam pentadbiran Soekarno. Menerusi kritikan dalam majalah Panji Masyarakat akhirnya membawa kepada penangkapan beliau pada 27 Ogos 1964 dan ditahan selama dua tahun di Pusat Tahanan Sukabumi atas tuduhan melanggar undang-undang Anti-Subversif Pempres 11, iaitu mengadakan pertemuan untuk membunuh Soekarno dan mendapatkan bantuan kewangan daripada Tunku Abdul Rahman untuk menjatuhkannya.

Namun Hamka dikenang sebagai insan yang tidak berdendam. Kisah klasik wasiat Soekarno agar Hamka menjadi imam sembahyang jenazah dilakukannya dengan berlapang dada. Begitu juga apabila novel beliau Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dituduh diciplak daripada tulisan Alvonso Care oleh Pramoedya, Hamka juga tidak berdendam apabila Pramoedya memohon supaya Hamka mendidik calon menantunya, Daniel untuk mendalami Islam.

Pada zaman Soeharto, Hamka pernah dilantik menjadi Ketua Umum, Majlis Ulamak Indonesia. Namun pertembungan fatwa mengenai sambutan Hari Krismas dengan menteri Agama menyebabkan beliau meletakkan jawatan.

Permata Nusantara ini meninggal dunia pada 24 Julai 1981 ketika berusia 73 tahun.

Menghayati perjalanan perjuangan Buya Hamka tidak lengkap jika tidak ke Danau Maninjau. Danau yang sejuk dan membiru dengan keluasan 1,738 kilometer persegi adalah sajian mata pada awal pagi. Betapa nikmatnya merasai kemanisan ikan tilapia segar Danau Maninjau.

Barulah dapat dirasai jerih perjuangan Hamka apabila berada di muzium kelahiran beliau. Terdapat monumen peribadi peninggalan beliau di situ. Jubah konvokesyen tersergam ketika Hamka menerima anugerah Doktor Falsafah Kehormat daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1974.

Bergetar jiwa apabila berada di Kutub Khanah Sungai Batang, melihat Quran tulisan tangan milik ayahanda Buya Hamka. Kegigihan mereka menyampaikan risalah kebenaran pada suasana itu memang dikagumi.

Hamka adalah milik Nusantara. Pemikirannya relevan sehingga kini. Selaku peminat Hamka, saya telah menubuhkan Pustaka Hamka Sungai Besar, sebagai inisiatif komuniti mengumpulkan buku-buku Hamka semenjak tahun 30-an. Anda bagaimana pula?* Budiman Mohd Zohdi, penyelidik sosial yang berpusat di Jakarta