X

Kindly register in order to view this article
!

Terengganu tumpu bidang pertanian

Dr Ahmad Samsuri (dua dari kiri) melihat lembu sado yang turut dipamerkan sempena HPPN peringkat negeri Terengganu di Dataran Pekan Jabi, Besut bermula 25 hingga 28 September ini.
A
A

BESUT - Kerajaan Terengganu komited memajukan sektor pertanian dan perladangan dengan memberi tumpuan mencari peluang baharu bagi memanfaatkan tanah-tanah kosong yang ada di negeri itu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sehingga kini terdapat 12,000 hektar tanah terbiar di Terengganu yang boleh digunakan untuk merakyatkan ekonomi sama ada bidang penternakan, perikanan mahupun perladangan.

"Sebab itu, saya selalu sebut kepada Exco supaya sentiasa cari ruang supaya kita boleh perkasakan ekonomi nelayan, petani, peladang dan penternak dan tahun 2020 kita akan terus fokus kepada bidang ini," katanya selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) peringkat negeri Terengganu di Dataran Pekan Jabi, Besut semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim.

Dalam ucapannya, Dr Ahmad Samsuri berkata, HPPN dilihat amat bermanfaat bukan sahaja kepada masyarakat setempat malah turut memberi peluang kepada pemain sektor pertanian mahupun pengusaha industri asas tani seluruh negeri Terengganu untuk menambah pendapatan menerusi program ini.

Menurutnya, Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 yang dilancarkan kerajaan juga telah disusun dengan memfokuskan beberapa strategi termasuk pemulihan dan memanfaatkan sebaiknya semua kemudahan dan infrastruktur pertanian dan asas tani yang telah sedia ada.

"Strategi seterusnya adalah penyenaraian, mengemaskini semula semua status tanah-tanah kerajaan yang dirizabkan dan diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) bagi tujuan pertanian, perikanan dan penternakan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan ibu bapa agar memupuk minta anak-anak muda mendekati bidang pertanian kerana pelbagai insentif dan kemudahan disediakan bagi membuka peluang kepada pelapis dan pemain baharu dalam bidang pertanian.

"Walaupun tempat kerjanya tidak di pejabat berhawa dingin namun jika dilaksanakan dengan tekun dan mengikut kaedah yang tepat, insya-ALLAH anak kampung mampu menjadi usahawan dan jutawan kelak," katanya.

Dalam pada itu, HPPN yang berlangsung selama empat hari bermula 25 September menyajikan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung termasuk pertandingan lembu sado, pameran haiwan seperti kambing, burung, 70 gerai jualan usahawan dan makanan popular serta pameran pelbagai agensi dan jabatan.

Seramai 50,000 pengunjung dijangka menghadiri sepanjang program tersebut berlangsung dengan nilai jualan dianggarkan mencecah RM400,000.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus