Terengganu mahu contohi konsep pertanian bandar di Jepun

Dr Ahmad Samsuri
Dr Ahmad Samsuri
A
A
A

BESUT - Kerajaan Terengganu berhasrat mencontohi konsep pertanian bandar yang dilaksanakan di Tokyo, Jepun kerana kaedah itu mampu meningkatkan hasil pertanian tiga kali ganda berbanding kaedah pertanian konvensional.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, teknologi yang digunakan di Jepun lebih efisien walaupun keadaan tanah tidak sesuai, mereka masih boleh gunakan ruang yang ada dengan memanfaatkan kaedah fertigasi.

"Teknologi ini yang akan kita terokai di Terengganu melibatkan usaha pihak kerajaan serta swasta yang berminat untuk meneroka bidang tertentu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Terengganu di Jabi dekat sini hari ini.

Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Terengganu yang bermula semalam hingga Sabtu ini menyasarkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung dengan nilai jualan melebihi RM400,000.

Sebanyak 60 gerai jualan produk usahawan industri kecil dan sederhana serta 35 gerai pameran jabatan dan agensi kerajaan boleh dikunjungi sepanjang sambutan itu.

Ahmad Samsuri turut menyarankan golongan muda supaya memanfaatkan kecanggihan teknologi terkini untuk meneroka sektor pertanian, perladangan dan perikanan secara komersial.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Terengganu mempunyai kira-kira 12,000 hektar tanah pertanian yang masih belum diusahakan ketika ini.

"Terengganu berada di kedudukan kedua selepas Pahang yang berjaya dalam memajukan tanah terbiar dan saya yakin lebih banyak tanah akan diusahakan melalui pelbagai galakan dan insentif yang akan diperkenalkan dalam Bajet Terengganu untuk tahun 2020," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: