X

Kindly register in order to view this article
!

Modifikasi Ysuku cabar pihak berkuasa

Tindakan sita akan dikenakan terhadap mereka sekiranya didapati melakukan kesalahan modifikasi Ysuku secara berlebihan dan tidak mengikut undang-undang.
A
A

SEJAK kebelakangan ini, motosikal Yamaha Y15ZR atau dikenali sebagai Ysuku menjadi dambaan ramai kaki motor.

Kepopularannya bukan sahaja melewati pencinta jentera dua roda budak-budak muda malah selebriti termasuk golongan VVIP. Dalam erti kata lain, ‘budaya Ysuku’ menjadi trend dan fenomena membara kini.

Jika menjengah media sosial terutama Instagram dan Facebook, banyak pihak waima dalam kalangan artis mempromosi motosikal Ysuku.

Di sebalik kehangatannya, situasi itu sebenarnya mencetuskan masalah baharu kepada pihak berkuasa. Manakan tidak, hampir setiap malam minggu, motosikal berkuasa rendah itu akan bermaharajalela dan menakluk lebuh raya dengan berlumba.

Lebih memburukkan keadaan, kebanyakan pemilik motosikal Ysuku dilihat telah memodifikasikan kenderaan mereka secara berlebihan. Pastinya apa yang dilakukan mereka membelakangkan undang-undang. Isu itu sebenarnya telah menarik perhatian pihak berwajib.

Baru-baru ini, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/ Kawalan Lalu Lintas/ Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, tindakan sita akan dikenakan terhadap mereka sekiranya didapati melakukan kesalahan modifikasi Ysuku secara berlebihan dan tidak mengikut undang-undang.

“Dulu motosikal yang popular untuk ubah suai ialah Honda EX5 dan sekarang Ysuku pula. Ini bahaya kerana mereka (ubah suai) kelajuan melebihi kemampuan motosikal.

“Trend ini dalam pemerhatian pihak polis. Motosikal itu (Ysuku) memang laju, kenapa perlu ditingkatkan lagi kelajuannya? Ini akan datangkan musibah,” katanya.

Lihat, kesalahan itu terletak di bahu pemilik motosikal bukannya kepada pengeluar. Jadi, dalam hal itu, masyarakat kena jelas.

Hukuman

Apa jenis modifikasi lain selain meningkatkan kelajuan yang biasanya dilakukan oleh kaki motor Ysuku?

Antaranya ialah menukar ekzos yang menyebabkan bunyi bising, gunakan tayar terlalu kecil, cermin sisi tidak digunakan, tukar unit kawalan enjin (ECU) untuk menambah kelajuan termasuk buang cut off (batasan had laju), tukar blok enjin untuk tambah kelajuan dan tukar swing arm untuk membuatkan motosikal lebih ringan.

Apa yang menyedihkan, kepantasan video tular mengenai ubah suai Ysuku (yang melanggar peraturan) oleh para selebriti telah mempengaruhi minda terutamanya dalam kalangan remaja untuk modifikasi motosikal mereka.

Pendekatan negatif itu sememangnya mesti dicegah seberapa cepat. Artis sepatutnya memberi contoh yang baik bukan mengajar benda yang bukan-bukan.

Dalam hal itu, mesti ramai tertanya-tanya apakah tindakan susulan yang boleh dibuat oleh polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) jika mereka menemui motosikal Ysuku yang dimodifikasi secara berlebihan? Jawapannya, mereka berhak untuk menyitanya.

Pemilik boleh didenda minimum RM3,000 sebelum boleh mengambil semula motosikal mereka.

Dalam masa tujuh hari, kenderaan itu perlu diubah kembali kepada spesifikasi asal dan kembali dibawa untuk pemeriksaan JPJ bagi mendapatkan kelulusan semula untuk sah berada di atas jalan raya.

Denda maksimum yang boleh dikenakan sebenarnya boleh mencecah RM20,000 jika disabit dengan beberapa kesalahan. Namun, perlu difahami bahawa semua itu boleh dikuatkuasakan sekiranya motosikal terbabit ditahan di atas jalan raya.

Situasinya sama jika motosikal yang diubah suai bagi tujuan pameran, perlumbaan dan sebagainya. Ia juga tidak boleh digunakan di jalan raya dan perlu diangkut dengan menggunakan lori ke destinasi tujuan.

Jika netizen mengandaikan motosikal jenis Ysuku sahaja diberi tumpuan oleh pihak berkuasa pada setiap kali pemeriksaan, anda ternyata silap.

Mereka akan memfokuskan kepada semua jenis motosikal. Justeru, andaian warganet kononnya pihak berkuasa yang bertumpu kepada motosikal Ysuku sahaja, ia tidak benar sama sekali.

Sebenarnya, tidak menjadi satu kesalahan pun memiliki jentera dua roda seperti itu. Namun, janganlah melakukan modifikasi secara keterlaluan. Ia bukan sahaja mengakibatkan pembaziran malah menjadi asbab utama kepada berlakunya risiko kemalangan kepada diri sendiri termasuk pengguna jalan raya lain.

Ya, hobi mahal tiada masalah, tetapi biarlah berakal. Jangan pentingkan diri sendiri. Kepada pihak berkuasa, terima kasih kerana terus komited membanteras kaki motor yang melanggar undang-undang negara.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!