Wajibkan pengusaha 'food truck' patuhi garis panduan keselamatan

Mohammad menunjukkan alat pengesan asap yang dipasang pada food truck selepas merasmikan garis panduan keselamatan kebakaran food truck di ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini. - Foto Bernama
Mohammad menunjukkan alat pengesan asap yang dipasang pada food truck selepas merasmikan garis panduan keselamatan kebakaran food truck di ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Garis Panduan Keselamatan Kebakaran Food Truck akan dicadangkan untuk wajib dipatuhi pengusaha ‘food truck’ atau kendera saji sebelum dibenarkan beroperasi, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Mohammad Mentek.

Beliau berkata, pematuhan terhadap garis panduan yang disediakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia itu penting sebagai langkah pencegahan kebakaran dalam kalangan kendera saji dan sekelilingnya termasuk pelanggan dan kenderaan berhampiran.

"Seperti mana yang kita tahu pengusaha kendera saji memasak makanan di atas trak jadi sudah tentu aspek keselamatan perlu dititikberatkan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Garis Panduan Keselamatan Kebakaran Food Truck di sini hari ini.

Menurutnya, sembilan kebakaran melibatkan kendera saji direkodkan dalam tempoh 2017 hingga Ogos tahun ini yang mana antara punca kebakaran ialah kedudukan tong gas memasak yang berdekatan dengan generator.

Katanya, selain mendapatkan maklum balas daripada persatuan pengusaha kendera saji, KPKT juga akan berbincang dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung mewajibkan pematuhan garis panduan itu.

"Buat masa ini kita bagi galakan (patuhi garis panduan), mungkin kita boleh berbincang dengan PBT khususnya supaya garis panduan ini dijadikan sebagai syarat lesen perniagaan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: