Jual MyKad: Kes dipindah ke Mahkamah Tinggi

Keratan artikel yang disiarkan Sinar Harian sebelum ini.
Keratan artikel yang disiarkan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes seorang penolong pengarah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang dan lima lagi individu yang berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 ke Mahkamah Tinggi.

Hakim, Norsalha Datuk Hamzah membuat keputusan itu hari ini selepas mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan yang mengemukakan bantahan awal agar kes tersebut terus kekal dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

"Setelah mendengar dan meneliti hujahan bantahan awal pihak pendakwaan dan hujahan pihak pembelaan, mahkamah ini memutuskan permohonan pihak pendakwaan untuk kes ini ke Mahkamah Tinggi dibenarkan. Kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi," katanya.

Keputusan sama turut dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen lain, Mazdi Abdul Hamid selepas mendengar hujahan bagi kes di hadapannya.

Minggu lepas, pasukan pembelaan membantah permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hari ini untuk kedua-dua mengemukakan hujah masing- masing.

Terdahulu, Yusaini Amer berhujah bahawa kuasa mendakwa adalah hak prerogatif Pendakwa Raya.

Beliau berkata, kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 26E Akta 670 dan pihak pendakwaan telah mengemukakan izin di bawah Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah untuk memindahkan kes-kes tersebut ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Artikel Berkaitan:

"Mahkamah Tinggi adalah medan yang betul untuk mendengar sebarang bantahan awal daripada pihak peguambela tertuduh-tertuduh. Dalam kes sekarang, Seksyen 26E Akta 670 juga di kategori di bawah Jadual Pertama Akta 670, justeru ia berada di dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi," katanya.

Sementara itu, peguam, Datuk Ranjit Singh Dhillon yang mewakili Chien Guan Chai, 36, dan Mohd Faizal Tan Abdullah, 66, pula memohon agar mahkamah menolak permohonan itu atas alasan tertuduh dituduh di bawah Seksyen 26E bukan kesalahan keselamatan.

“Jika SOSMA terpakai, ia harus diputuskan terlebih dahulu,” katanya.

Pada 12 September lepas Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd Faizul Arifin, 34, bersama empat lelaki Loh Chan Cheong, 34; Chien, 36; Yap Cheng Wah, 43, dan Mohd Faizal, masing-masing didakwa atas dua pertuduhan utama mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 manakala ahli perniagaan, Datuk Lai Chin Wah, 56, dituduh atas tiga pertuduhan utama mengikut seksyen yang sama.

Mohd Faizul turut didakwa atas empat pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan serta lima pertuduhan mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing. Chin Wah, Chan Cheong dan Cheng Wah juga masing-masing dituduh atas dua pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan serta bersubahat dengan Mohd Faizul bagi tujuan pemalsuan dokumen itu manakala Chien berdepan empat pertuduhan sama.

Bagi dua pertuduhan utama, Mohd Faizul didakwa membuat dokumen pengenalan diri fraud iaitu sijil kelahiran dan kad pengenalan bagi maksud memudahkan penyeludupan migran di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di sini antara Januari hingga Februari 2019.

Chan Cheong, Chien, Cheng Wah dan Mohd Faizal Tan masing-masing didakwa atas dua pertuduhan utama menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan Georgetown pada tempoh yang sama.

Chin Wah pula didakwa atas tiga pertuduhan utama menjual sijil kelahiran, kad pengenalan dan pasport di sekitar kawasan Georgetown antara Januari hingga Mac 2019.

Bagi kesemua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohd Faizul turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di sini antara bulan Januari hingga Mei 2019.

Chin Wah, Chan Cheong dan Cheng Wah juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan serta bersubahat dengan Mohd Faizul bagi tujuan pemalsuan dokumen itu di tempat yang sama antara Januari hingga Februari 2019.

Chien pula mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan masing-masing serta bersubahat dengan Mohd Faizul bagi tujuan pemalsuan dokumen itu di tempat yang sama antara Januari hingga Mei 2019.

Bagi kesemua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Selain itu, Mohd Faizul turut mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan di bawah Peraturan 25(1)(i) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana mengeluarkan kad pengenalan palsu antara 20 September 2018 hingga 3 Mei 2019.

Bagi kesemua pertuduhan itu, jika disabitkan kesalahan kesemua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya. - Bernama