Jho Low arah padam semua emel: Saksi

Hari ke-14 perbicaraan kes Najib melibatkan dana 1MDB.
Hari ke-14 perbicaraan kes Najib melibatkan dana 1MDB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mengarahkan supaya kesemua emel berkaitan pembelian syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP), penerbitan bon yang dijamin oleh International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pembelian Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (TEHSB) dipadam kerana ia adalah rahsia besar melibatkan ‘keselamatan negara’.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya di Mahkamah Tinggi di sini berkata Jho Low mengarahkannya memadamkan kesemua emel yang diterima daripadanya bagi menjaga kepentingan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya ada menyimpan ‘taking points’ (nota maklumat) yang diberikan oleh Jho Low menggunakan emelnya kepada alamat emel saya.

"Bagaimanapun, saya telah diarahkan oleh Jho Low untuk memadamkan kesemua emel yang saya terima daripadanya sekitar pertengahan tahun 2015 atas alasan ia adalah rahsia besar dan melibatkan ‘keselamatan negara’ dan untuk menjaga kepentingan Datuk Seri Najib.

“Selepas menerima arahan Jho Low tersebut, saya terus memadamkan emel-emel yang saya terima daripada Jho Low tanpa membuat sebarang salinan langsung," katanya.

Shahrol Azral berkata, beliau percaya yang idea mendapatkan dana melalui terbitan bon yang dijamin oleh IPIC dicetuskan oleh Jho Low dan bekas Pengarah Asia Goldman Sachs, Tim Leissner dengan sokongan Najib kerana tanpa sokongan bekas perdana menteri itu amat mustahil untuk 1MDB mendapatkan jaminan dari pihak IPIC.

“Sepanjang proses pembelian Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (TEHSB) dan pengumpulan dana ini, berdasarkan perbualan saya dengan Jho Low dan juga ‘talking points’ yang disalinkan melalui emel kepada saya oleh Jho Low, saya amat yakin yang Datuk Seri Najib mengetahui dan menyokong penuh segala aspek pembelian dan pengumpulan dana ini.

“Ingin saya tegaskan yang isi kandungan ‘talking points’ dan maklum balas serta tindakan Datuk Seri Najib adalah 100 peratus konsisten, maksudnya terbukti yang Jho Low adalah proksi Datuk Seri Najib dalam menguruskan hal-hal berkaitan dengan pembelian syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) dan penerbitan bon yang dijamin oleh IPIC,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin. - Bernama