Manfaatkan kelebihan gol di Alor Setar

Mukhriz
A
A

KEDAH perlu memanfaatkan kelebihan gol yang diperoleh mereka selepas berjaya mengatasi PKNP FC 2-1 pada aksi suku akhir Piala Malaysia 2019 di Manjung malam tadi.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, momentum dan kelebihan tersebut perlu dikekalkan pada aksi timbal balik di Alor Setar pada Ahad ini dalam usaha untuk mara ke peringkat seterusnya.

Menurutnya, kelebihan beraksi di Stadium Darul Aman patut dimanfaatkan sebaik mungkin dengan sokongan padu penyokong setia Lang Merah.

"Kita harap apabila bermain di laman sendiri, pemain-pemain akan beraksi dengan lebih baik ditambah pula dengan sokongan penyokong sendiri di Alor Setar," katanya.

Pada aksi semalam, tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-37 menerusi Yashir Pinto selepas menerima hantaran Mukhairi Ajmal.

Bagaimanapun, pelawat berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Fernando Rodriguez hasil hantaran Jonatan Bauman pada minit ke-48.

David Rowley memastikan Lang Merah membawa pulang bekalan gol ke laman sendiri selepas tandukannya menerjah gawang PKNP FC pada minit ke-73 hasil hantaran sepakan sudut ketua pasukannya, Baddrol Bakhtiar.