Rugi RM129,000 ditipu 'asisten superintendan'

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki rugi RM129,000 selepas menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai polis berpangkat asisten superintendan yang mengarahkannya untuk memindahkan wang ke akaun sementara berikutan dakwaan namanya dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram.

Mangsa berusia 59 tahun dari Mentakab yang bekerja sendiri itu menerima panggilan tersebut pada 23 Ogos lepas daripada 'pegawai polis' terbabit yang mendakwa pindahan wang tersebut adalah untuk menyelesaikan kesnya sebagaimana arahan juruaudit sebuah mahkamah di Seremban, Negeri Sembilan dan pulangan wang akan dilakukan pada 11 September.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa bagaimanapun mengesyaki ditipu selepas menyedari tiada pemulangan wang dilakukan sebagaimana dijanjikan sehingga kelmarin menyebabkannya membuat laporan polis selepas usaha menghubungi 'pegawai polis' berkenaan gagal.

Menurutnya, mangsa sebelumnya menerima panggilan telefon daripada pegawai bank mendakwa dia membuat pinjaman peribadi namun dinafikan mangsa sebelum panggilan dilanjutkan kepada 'pegawai polis' yang memberitahu mangsa dikehendaki berhubung kes pengubahan wang haram dan diminta memindahkan RM9,000 untuk penyelesaian kes.

"Kerana bimbang berdepan hukuman lebih berat, mangsa akur apabila membuat bayaran dalam jumlah yang diarahkan melalui sebuah akaun bank yang diberikan atas nama seorang lelaki.

“Selepas bayaran itu dijelaskan, mangsa diminta membuat beberapa lagi pembayaran atas pelbagai alasan dalam proses menyelesaikan kes tersebut dan sehingga bayaran terakhir dibuat, jumlah keseluruhan yang dibayar berjumlah RM129,000," katanya.

Artikel Berkaitan: